Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

18 December 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

47

Soalan

Senator Dato' Ahmad bin Dato' Sri Hj. Ibrahim minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :-

(a) Berapakah jumlah kes pencemaran alam sekitar yang telah diambil tindakan oleh Kementerian dalam tempoh setahun yang lalu dan juga untuk tempoh suku tahun ketiga 2024; dan 

(b) Apakah langkah-langkah pemulihan yang dijalankan bagi kawasan yang terkesan dan terjejas teruk oleh pencemaran alam sekitar.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memandang serius kesalahan yang melibatkan pencemaran alam sekitar. Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengenakan kompaun dan juga membuat pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya. 


  1. Pada tahun 2023, sejumlah 415 kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 telah didakwa di mahkamah dan telah disabitkan kesalahan dengan denda yang dikenakan berjumlah RM6,551,000.00 manakala sebanyak 3,502 kompaun telah dikeluarkan kepada premis dan individu dengan kutipan kompaun sebanyak RM3,565,750.00. 


  1. Bagi Januari 2024 sehingga 30 November 2024, sejumlah 270 kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 telah didakwa di mahkamah dan telah disabitkan kesalahan dengan denda yang dikenakan berjumlah RM6,869,000.00 beserta hukuman penjara selama 4 bulan manakala sebanyak 3,183 kompaun telah dikeluarkan kepada premis dan individu dengan kutipan kompaun sebanyak RM2,970,800.00.


  1. Antara langkah-langkah pemulihan yang dijalankan terhadap kawasan yang terkesan dan terjejas oleh pencemaran adalah seperti berikut:


  1. Mengarahkan premis berkenaan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang dicemari bahan tumpahan dengan serta merta mengikut peraturan-peraturan yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] agar tidak memberi kesan buruk terhadap alam sekitar;


  1. Meningkatkan kerjasama dan melaksanakan operasi secara bersepadu dengan agensi penguatkuasaan yang lain. Sebagai contoh, JAS dengan kerjasama Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan bertindak untuk mengurangkan risiko pencemaran dan memastikan bahawa kawasan yang terkesan adalah selamat;


  1. Melaksanakan pemantauan kualiti udara dan air secara berkala untuk mengesan tahap pencemaran dan memastikan ia berada dalam had yang selamat;


  1. Memantau pengurusan buangan terjadual daripada industri yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dengan mengawalselia penggunaan sistem eSWIS (Electronic Scheduled Waste Information System) bagi mengesan pergerakan buangan terjadual daripada premis industri yang menghasilkan buangan terjadual kepada kemudahan pengurusan yang dilesenkan oleh JAS;


  1. Menjalankan pemeriksaan secara berterusan ke atas premis industri, notifikasi pemasangan alat kawalan pencemaran, pelaporan alam sekitar  secara atas talian (Online Environmental Reporting, OER) dan penguatkuasaan secara desktop;


  1. Memastikan pelaksanaan pematuhan kendiri (Self Regulation, SR) kepada pihak industri untuk menjalankan pemantauan prestasi setiap hari terhadap kelengkapan alat kawalan pencemaran yang telah dipasang agar ianya berfungsi dengan baik pada setiap masa; dan 


  1. Menganjurkan program promosi dan kesedaran awam kepada masyarakat dan semua pihak berkepentingan untuk meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan menghadapi pencemaran.


Sekian, terima kasih.​

Attachments