Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 17 December 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 4 | Soalan | Senator Tuan Michael Mujah Lihan minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah-langkah proaktif Kerajaan dalam mengekang aktiviti pengimportan sisa plastik di negara ini dan bagaimanakah isu ini mampu ditangani secara keseluruhan menerusi Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun hadapan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Di antara langkah-langkah proaktif Kerajaan dalam mengekang aktiviti pengimportan sisa plastik di negara ini adalah dengan:
Memperketatkan sistem kawalan dan meningkatkan mekanisme penguatkuasaan di pintu masuk negara (pelabuhan dan pintu masuk darat) bersama agensi lain seperti Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM);
Meningkatkan tindakan penguatkuasaan bersepadu di pelabuhan dan kilang-kilang haram memproses sisa import dipertingkatkan bersama Jabatan dan Agensi yang berkaitan seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan (MOT), JKDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
Memperkukuhkan kerjasama dalam perkongsian maklumat dengan organisasi antarabangsa termasuk Sekretariat Konvensyen Basel, Asian Network, Enforce, Interpol dan lain-lain;
Memuktamadkan cadangan perwakilan kuasa daripada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi jenayah alam sekitar melibatkan sisa plastik; dan Kementerian juga akan membawa cadangan hala tuju pengurangan kuota import sisa plastik selari dengan hasrat untuk menumpukan kepada industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (high growth, high value) ke Jawatankuasa Induk Pengurusan Skrap Plastik Import yang dianggotai pelbagai kementerian.
Menerusi kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun hadapan, Malaysia ingin membawa isu penjajahan sisa (waste colonisation). Negara ASEAN sering menjadi mangsa penjajahan sisa oleh negara maju bagi mengeksport sisa ke Malaysia dengan alasan ’kitar semula’ namun sebenarnya ingin menjadikan negara sebagai tapak pelupusan dunia yang mana melanggar prinsip keadilan alam sekitar. Malaysia ingin mencadangkan agar negara maju lain mengikut langkah Kesatuan Eropah untuk mengenakan sekatan ketat terhadap eksport sisa, khususnya sisa plastik, ke negara-negara bukan OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development).
Malaysia akan memimpin usaha untuk memperkenalkan langkah-langkah yang lebih tegas serta dasar yang lebih ketat dalam menangani isu ini di peringkat serantau.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|