Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 12 December 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perhutanan | Nombor Soalan | 53 | Soalan | Senator Dato' Dr. Ahmad Azam Bin Hamzah minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan bagaimanakah Kerajaan memastikan sumber alam seperti hutan dan sungai dilindungi dalam pelaksanaan projek tenaga baharu dan apakah langkah yang diambil untuk mengurangkan penebangan hutan bagi tujuan pembangunan tenaga.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan melalui NRES komited dalam melaksanakan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) untuk memastikan negara terus menikmati segala faedah yang diperoleh daripada sumber hutan secara berterusan selaras dengan Dasar Perhutanan Malaysia. Kerajaan akan terus memelihara dan mengurus hutan negara berdasarkan prinsip-prinsip PHSB.
Dalam masa yang sama, Kementerian ini memandang serius impak kepada alam sekitar akibat daripada aktiviti pembangunan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK). Antara langkah yang sedang diambil oleh NRES untuk memastikan keseimbangan pembangunan di samping mengekalkan HSK adalah seperti berikut:
mengawal dan mengelakkan kelulusan pembangunan utiliti dan bukan utiliti dalam HSK dan Rizab Hidupan Liar di Semenanjung selaras dengan keputusan Majlis Tanah Negara Ke-73 pada 30 November 2017;
menambah baik pelaksanaan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) di Malaysia. Ini melibatkan semua cadangan projek yang tertakluk kepada Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015;
mengadakan libat urus dan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Negeri melalui platform Majlis Tanah Negara untuk menyelaras amalan pengurusan dan penggunaan sumber hutan secara terancang, rasional dan berkesan selaras dengan keperluan untuk memelihara hutan sebagai sumber semula jadi;
pelaksanaan Pembalakan Kurang Impak [Reduced Impact Logging (RIL)] yang bertujuan mengurangkan kerosakan terhadap dirian tinggal, tanah dan kualiti air untuk mengekalkan keupayaan pengeluaran hutan serta fungsi ekologinya; dan
mengekalkan dasar sedia ada dan tidak meluluskan Operating Mining License (OMS) bagi aktiviti perlombongan dalam HSK, kawasan hutan perlindungan dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|