Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 10 December 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 43 | Soalan | Senator Puan Rita Sarimah Anak Patrick Insol minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan status kemajuan dalam usaha Kerajaan dalam membangunkan karbon hutan dan apakah tindakan yang telah diambil untuk mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Justeru, setiap negeri mempunyai hak untuk menggubal undang-undang dan menguruskan dasar perhutanan di Negeri masing-masing selaras dengan Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan. Kuasa Kerajaan Persekutuan adalah memberi nasihat, bantuan teknikal, latihan, penyelidikan dan pembangunan dalam sektor perhutanan kepada negeri-negeri.
Bagi memastikan hala tuju pasaran karbon yang komprehensif dan mengambil kira segala ketetapan di bawah UNFCCC, Kementerian telah membangunkan Panduan Pasaran Karbon Sukarela Sektor Hutan (PKH) sebagai sumber rujukan kepada Kerajaan Negeri serta pihak yang ingin terlibat di dalam aktiviti pembangunan dan perdagangan kredit karbon hutan secara sukarela (Voluntary Carbon Markets - VCM).
Kementerian tidak mengawalselia aktiviti pembangunan produk bagi VCM buat masa ini, namun begitu mana-mana pihak yang ingin menjalankan aktiviti tersebut perlu mengemukakan butiran mengenai projek kredit karbon tersebut (maklumat projek, skop dan tempoh masa, metodologi dan pelaporan tahunan bagi unit kredit karbon dihasilkan) kepada pihak Kementerian.
Dalam masa yang sama, bagi mengalakkan dan menyokong inisiatif penjanaan karbon dari sektor perhutanan, Kementerian melalui Malaysia Forest Fund (MFF) melaksanakan usaha serta strategi kewangan inovatif bagi sektor perhutanan. Kementerian berharap agar kolaborasi strategik di antara MFF dengan pihak Kerajaan Negeri akan dapat diperkembangkan bagi memastikan pembangunan projek karbon hutan yang dapat menjanakan kredit karbon untuk didagangkan di platform pasaran seperti Bursa Carbon Exchange (BCX).
Kementerian juga telah membangunkan Kerangka Kewangan REDD Plus (REDD Plus Finance Framework – RFF) sebagai satu mekanisme kewangan inovatif untuk melaksanakan aktiviti mengekal dan memulihara hutan serta menjamin ekosistem hutan yang berterusan dalam menyumbang ke arah mitigasi perubahan iklim. Mekanisma ini telah dirangka secara khusus untuk membolehkan mobilisasi kewangan daripada sumber luar, sama ada syarikat swasta, organisasi bukan kerajaan atau dari sumber luar negara, disalurkan kepada sektor perhutanan melalui instrumen berasaskan pasaran yang dikenali sebagai Offset Karbon Hutan (Forest Carbon Offset – FCO) dan bukan pasaran; Sijil Pemuliharaan Hutan (Forest Conservation Certificate – FCC).
Pembangunan Forest Carbon Offset (FCO) secara khususnya adalah cabang utama bagi mewujudkan satu Sistem Pengkreditan Karbon Kebangsaan bagi sektor perhutanan yang boleh memenuhi keperluan penjanaan kredit karbon bagi pasaran dan permintaan domestik dan antarabangsa. Usaha pembangunan FCO ini adalah selaras dengan hasrat Kementerian untuk mewujudkan sistem pengkreditan domestik yang setara dengan piawaian antarabangsa seperti Verra, Gold Standard dan lebih murah, mengambilkira spesifikasi kebangsaan, proses validasi yang lebih cepat dan lebih mudah untuk dioperasikan.
Selain itu juga, Kementerian sedang membangunkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) yang akan dibuat secara berperingkat. Dasar ini akan melihat pembangunan pasaran karbon negara secara menyeluruh untuk menyokong pelaksanaan mekanisme pasaran karbon pematuhan dan sukarela di Malaysia. Pelaksanaan DPKK kelak dijangka akan memudah cara pelaksanaan projek karbon oleh pelabur termasuk projek berkaitan karbon hutan.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|