Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 09 December 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 51 | Soalan | Senator Tuan Musoddak bin Ahmad minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan strategi jangka panjang yang dirangka oleh Kementerian bagi mengadaptasi ketidaktentuan cuaca ekstrem serta musim bencana terutamanya banjir besar.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, perubahan iklim adalah masalah global yang dihadapi oleh semua negara di dunia ini. Semua negara tidak terkecuali daripada kesan perubahan iklim seperti peningkatan suhu, cuaca ekstrem, taufan yang kuat dan peningkatan paras air laut.
Kementerian ini juga sedar akan risiko bencana hidro-iklim yang disebabkan oleh impak perubahan iklim seperti risiko peningkatan suhu dan episod pengurangan hujan semasa musim kering yang membawa kepada pelbagai masalah kesihatan, kekurangan sumber air, risiko kebakaran dan jerebu. Oleh itu, Kementerian ini sedang membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP).
MyNAP akan turut mengambil kira perancangan dan strategi pelaksanaan adaptasi di bawah kementerian-kementerian lain terutamanya PETRA untuk inisiatif yang berkaitan sektor air seperti berikut:
Pelaksanaan reka bentuk infrastruktur adaptif yang berdaya tahan terhadap kesan bencana hidro-iklim seperti kenaikan paras laut, banjir dan musim kering. Ia termasuklah pembinaan sistem perparitan dan struktur tebatan banjir yang lebih berkesan, pembinaan ban dan struktur perlindungan pantai yang mengambil kira faktor perubahan iklim dan peningkatan aras laut di dalam elemen reka bentuk masing-masing.
Reka bentuk infrastruktur kritikal seperti kemudahan tenaga dan loji rawatan air yang boleh berfungsi dengan berkesan semasa musim kering dan akan membantu dalam mengekalkan perkhidmatan penting serta mencegah gangguan operasi bekalan air.
peningkatan penggunaan teknologi bangunan hijau dan penggabungan sumber tenaga boleh diperbaharui. Dengan menggalakkan amalan cekap tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon, sasaran kita adalah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih mampan dan berdaya tahan iklim pada masa hadapan.
langkah-langkah adaptasi yang efektif bagi episod musim kering, contohnya melalui pelaksanaan teknologi cekap air, seperti sistem pengairan pintar, penuaian air hujan dan kitar semula air sisa terawat (air pulih guna), meningkatkan kapasiti takungan sedia ada dan mewujudkan kemudahan penyimpanan tambahan boleh membantu memastikan bekalan air yang stabil semasa musim kemarau yang berpanjangan. Ini termasuk takungan bawah tanah dan takungan air pinggiran sungai (TAPS) yang direkabentuk untuk menakung air lebihan semasa musim hujan dan boleh digunakan semula semasa musim kering.
Tuan Yang di-Pertua,
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sepanjang tahun sentiasa memantau situasi cuaca negara dan akan mengeluarkan maklumat dan amaran sekiranya kejadian hujan lebat berterusan, ribut petir serta ribut taufan dijangka berlaku.
Bagi memastikan maklumat dan amaran awal dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, MET Malaysia sentiasa meningkatkan sistem ramalan cuaca negara yang merangkumi sistem rangkaian pencerapan, sistem pemprosesan dan sistem penyampaian agar selari dengan teknologi terkini dan keperluan semasa.
MET Malaysia telah meningkatkan sistem rangkaian pencerapan dalam usaha memantau keadaan cuaca dengan lebih terperinci pada masa sebenar. Antara perkara-perkara yang dilaksanakan ialah: Menaik taraf 60 Stesen Pencerapan Permukaan kepada Stesen Cuaca Automatik dan telah siap sepenuhnya pada tahun 2022. MET Malaysia juga kini sedang menaik taraf 100 buah stesen pencerapan permukaan automatik melalui projek pembangunan Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
Memasang 7 buah stesen meteorologi radar baharu sebagai tambahan kepada 11 buah stesen meteorologi radar sedia ada bagi membolehkan pemantauan cuaca dapat dilakukan dengan lebih teliti dan menyeluruh. Gabungan radar-radar ini membolehkan MET Malaysia memantau keadaan cuaca yang sedang berlaku seluruh negara.
Menerima dan memproses imej satelit daripada tiga buah satelit antarabangsa, iaitu FengYun (China) bagi setiap 15 minit, Himawari (Jepun) dan GEO-KOMPSAT-2 (Korea Selatan) bagi setiap 10 minit.
Sistem pemprosesan dan analisa data juga sentiasa ditambah baik bagi penghasilan ramalan dan amaran yang lebih tepat dan cepat. MET Malaysia telah melaksanakan perkara-perkara berikut:
Penambahbaikan sistem nowcasting MET Malaysia iaitu unjuran pergerakan dan intensiti hujan dalam tempoh 10 minit sehingga tiga (3) jam ke hadapan, Jabatan telah berjaya mengintegrasikan semua sistem radar ke dalam Radar Integrated Nowcasting System (RaINS).
Penambahbaikan sistem komputer utama bagi penyediaan ramalan dan amaran cuaca sehingga ke peringkat mukim berbanding peringkat daerah sebelum ini.
Peningkatan keupayaan model ramalan cuaca numerical dengan mengadaptasi teknologi Sistem Komputer Berprestasi Tinggi (High Performance Computing (HPC)). Produk-produk yang dijanakan oleh Sistem HPC baharu ini membolehkan Jabatan menjangkakan risiko bencana cuaca 14 hari lebih awal berbanding hanya tujuh hari pada ketika ini. Ia juga akan membekalkan perincian bagi kawasan bagi kawasan dilanda bencana dengan resolusi yang lebih tinggi, iaitu 300 meter berbanding 1 kilometer pada ketika ini.
Seiring dengan perkembangan teknologi semasa, pelbagai medium sebaran telah dilaksanakan bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan agar penyebaran maklumat lebih meluas dan inklusif. Antara usaha yang dilakukan ialah MET Malaysia telah membangunkan aplikasi mobil myCuaca dimana maklumat cuaca dan gempa bumi boleh diakses oleh orang ramai pada bila-bila masa.
MET Malaysia juga turut membangunkan aplikasi mobil RakanMET iaitu medium perkongsian maklumat cuaca setempat di kalangan orang awam. Selain itu, Jabatan juga menyampaikan ramalan dan amaran cuaca ini menggunakan pelbagai medium seperti media sosial (Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube), laman sesawang Jabatan dan media massa (televisyen dan radio).
Kesimpulannya, penambahbaikan berterusan yang dilakukan terhadap sistem rangkaian pencerapan, sistem pemprosesan dan sistem penyampaian ini dijangka dapat menghasilkan ramalan dan amaran awal yang lebih tepat dan cepat dalam usaha mengadaptasi ketidaktentuan cuaca ekstrim dan sekaligus dapat membantu pihak agensi pengurusan bencana untuk bertindak lebih awal dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terjamin. Usaha ini juga bagi menyokong salah satu sasaran utama Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 iaitu meningkatkan ketersediaan dan akses kepada sistem amaran awal pelbagai bahaya (multi-hazard), maklumat risiko dan penilaian bencana.
Untuk makluman Yang Berhormat Senator, NRES juga secara aktif bekerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan perniagaan serta pakar iklim antarabangsa untuk berkongsi amalan terbaik dan menerima pakai penyelesaian yang inovatif. Melalui amalan perkongsian pintar ini, kementerian menyasarkan untuk memanfaatkan pelbagai kepakaran bagi menangani perubahan iklim dengan berkesan. Kementerian juga amat komited dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai tentang isu perubahan iklim yang melibatkan pelbagai peringkat masyarakat seperti penglibatan kumpulan rentan dan komuniti tempatan melalui forum, bengkel, program komuniti dan inisiatif pendidikan untuk menggalakkan amalan mampan dan membina budaya daya tahan dalam rantau ini.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|