Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

09 December 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

47

Soalan

Senator Tuan Michael Mujah Lihan minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan ancaman hidupan liar terhadap manusia yang telah menimbulkan ancaman kepada penduduk, menyebabkan kerugian serta kerosakan harta benda atau tanaman pertanian mereka dan adakah Kerajaan menyediakan pampasan atau bayaran ex-gratia kepada penduduk yang menjadi mangsa pencerobohan hidupan liar ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk memulihara dan mengurus hidupan liar dan aktiviti-aktiviti berkaitannya di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan menerusi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. 


2. Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) pula adalah agensi yang bertanggungjawab bagi hidupan liar di Sabah di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 sementara Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Sarawak di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.


3. Di peringkat Kerajaan Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas bagi meringankan beban mangsa atau waris yang terlibat dengan kes-kes konflik yang melibatkan kecederaan atau kematian. 


4. Kerajaan melalui NRES juga telah memperkenalkan inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) pada tahun 2024 bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. BKHT merupakan bantuan dalam bentuk kewangan secara one-off kepada kumpulan sasar termasuk penduduk kampung yang mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar. Sehingga penghujung November 2024, seramai hampir 250 pemohon telah menerima bayaran BKHT dengan bayaran keseluruhan sebanyak RM978 ribu.


Sekian, terima kasih.​

Attachments