Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

09 December 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

33

Soalan

Senator Puan Noorita binti Sual minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :-

(a) apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian bagi mengurangkan konflik yang berlaku antara komuniti Orang Asal/Asli dengan syarikat pembalakan yang sering bertembung di kawasan hutan simpan; dan

(b)  adakah terdapat rancangan khusus daripada Kementerian untuk memperkenalkan teknologi satelit atau dron bagi memantau aktiviti pembalakan haram di kawasan pedalaman.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Soalan (a)

  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited dalam melaksanakan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) untuk memastikan negara terus menikmati segala faedah yang diperolehi dari sumber hutan secara berterusan selaras dengan Dasar Perhutanan Malaysia.

  2. Dalam masa yang sama, selaras dengan piawai pensijilan hutan MC&I SFM (Management Criteria and Indicators Sustainable Forest Management) di bawah Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) yang bertujuan memastikan pengurusan hutan dilakukan secara mampan termasuk pemeliharaan hak Orang Asal, Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan konflik antara komuniti Orang Asli dan syarikat pembalakan demi mencapai keseimbangan antara keperluan pembangunan ekonomi dan perlindungan hak serta kebajikan komuniti Orang Asli seperti berikut: 

  1. mengadakan mesyuarat secara berkala dengan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang telah diwujudkan sejak tahun 2012 bagi membincangkan dan menangani isu-isu yang berkaitan masyarakat Orang Asli dan pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia;

  2. mengenal pasti, melindungi dan menanda lokasi penting dari segi budaya, ekologi, ekonomi atau agama kepada Orang Asli untuk memastikan kawasan istimewa tersebut tidak terlibat dalam aktiviti pengusahasilan;

  3. melaksanakan Penilaian Impak Sosial (Social Impact Assessment – SIA) sebelum, semasa dan selepas aktiviti pengusahasilan hutan yang bertujuan menilai dan menyediakan langkah-langkah mitigasi kesan yang dijangka berlaku terhadap kehidupan Orang Asli; dan

  4. JPSM melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga melaksanakan Program Buy Back Guarantee di bawah inisiatif perhutanan sosial yang melibatkan komuniti Orang Asli dalam mengusahakan tapak semaian anak pokok dengan sokongan peruntukan, kelengkapan dan latihan.

Soalan (b) 

  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) telah dan sedang menggunapakai teknologi satelit serta dron dalam pemantauan aktiviti pembalakan haram di seluruh negara. Malah, teknologi berkenaan juga telah dipadankan dengan sistem geoinformasi perhutanan bagi meningkatkan keberkesanan dalam penguatkuasaan serta pengurusan hutan di setiap wilayah.

  2. Di Semenanjung Malaysia, JPSM sentiasa memantau sumber hutan negara daripada sebarang aktiviti pencerobohan dan penerokaan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), pembalakan haram dan perubahan litupan hutan melalui penggunaan teknologi bersepadu seperti Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS) Plus, sistem e-Geospatial Perhutanan dan teknologi unmanned aerial vehicle (UAV) atau dron.

  3. Di Wilayah Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah telah membangunkan satu sistem aplikasi geospatial yang dikenali sebagai GeoForest iaitu sistem pangkalan data berpusat bagi sumber hutan. Malahan, sistem iForSabah juga telah dibangunkan dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi membantu pemantauan hutan dan pengemaskinian litupan hutan.

  4. Manakala, Jabatan Hutan Sarawak pula telah menggunakan kaedah pemantauan berterusan melalui sistem Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) yang menggabungkan analisa imej satelit dan menentusahkan titik koordinat dengan menggunakan pesawat khas DA42-MPP yang dilengkapi sistem cerapan udara hiperspektral bagi membantu pengawasan dan tindakan penguatkuasaan serta pemantauan sumber asli termasuk menilai kesihatan hutan negara di wilayah Sarawak.

Attachments