Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

05 December 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

60

Soalan

Senator Datuk Lim Pay Hen minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah status pembangunan Cyberjaya sebagai bandar berkarbon rendah menjelang 2030 (Low Carbon City 2030)​.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Seiring dengan usaha pembangunan mampan dan lestari, Bandar Rendah Karbon menjadi satu elemen yang penting dalam membangunkan bandar yang mampan dan mesra alam. Kerajaan komited untuk mentransformasikan bandar di Malaysia ke arah pembangunan rendah karbon di bawah Pelan Induk Bandar Rendah Karbon (National Low Carbon Cities Master Plan – NLCCM). Sebanyak 33 bandar sasaran telah dikenal pasti di bawah NLCCM untuk mencapai sasaran pengurangan pelepasan GHG mutlak berdasarkan penanda aras masing-masing sehingga tahun 2050. 


2. Majlis Perbandaran Sepang merupakan salah satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Kumpulan 1 NLCCM yang disasarkan untuk mencapai pengurangan karbon mutlak sebanyak 33% menjelang tahun 2030. Sejajar dengan itu, Majlis Perbandaran Sepang telah memulakan inisiatif dengan memilih Cyberjaya selaras dengan hasrat untuk menjadikan ia sebagai destinasi pelaburan mampan bagi pelabur global dalam sektor teknologi. Majlis Perbandaran Sepang telah melancarkan Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya 2030 pada tahun 2017, dengan matlamat untuk mentransformasikan Cyberjaya ke arah bandar pintar dan rendah karbon menjelang tahun 2030. Pelan Tindakan tersebut menggariskan tujuh (7) strategi utama dan 24 tindakan utama untuk menyokong agenda Kerajaan Negeri Selangor dalam pembangunan lestari. Majlis Perbandaran Sepang juga telah menetapkan sasaran pengurangan pelepasan karbon sebanyak 40% di Cyberjaya menjelang tahun 2030 dengan bidang tumpuan utama adalah guna tanah, penggunaan sumber, mobiliti dan bangunan. 


3. Dalam usaha mencapai sasaran tersebut, Cyberjaya telah mengguna pakai Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon yang dibangunkan oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC). Pelbagai usaha dan inisiatif dalam aspek tenaga, air, sisa, pengangkutan dan kehijauan telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Sepang bersama-sama dengan pihak berkepentingan di Cyberjaya seperti Cyberview Sdn Bhd, Setia Haruman Sdn Bhd, pihak swasta, komuniti dan institusi berkaitan. 


4.     Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah loji solar terapung, mobiliti pintar seperti infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik dan Go To U EV Lifestyle Hub. Inisiatif- inisiatif lain seperti pemasangan lampu LED solar di Taman Tasik Cyberjaya dan Taman Mini Cyberjaya, Penyediaan sangkar kitar semula di Kelab Komuniti Cyberjaya, Laman & Bayu Puchong, dan SJKT Dengkil dan lain-lain. Di samping itu juga, Majlis Perbandaran Sepang turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat tempatan dan antarabangsa untuk meneroka pelaksanaan inisiatif rendah karbon untuk memberikan impak yang signifikan terhadap pengurangan pelepasan karbon di Zon Cyberjaya. 


Sekian, terima kasih.​

Attachments