Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 03 December 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 8 | Soalan | Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh manakah pencapaian keseluruhan Dasar Perubahan Iklim Negara 1.0 dalam arus perdana perubahan iklim negara dan bagaimanakah indikator terbaharu yang ditetapkan Kementerian bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 yang baru diluncurkan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Secara amnya, DPIN 1.0 bertujuan untuk mengarusperdanakan perubahan iklim di dalam dasar pembangunan negara manakala DPIN 2.0 adalah lebih bersifat praktikal bagi melaksanakan peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon. Bagi memastikan keberkesanan DPIN 2.0, ianya telah dirangka supaya lebih bersifat praktikal dan komprehensif dengan mengambil kira isu-isu domestik dan antarabangsa yang terkini.
Selain itu, pencapaian DPIN 1.0 juga dapat dilihat melalui dasar-dasar lain di peringkat sektoral yang telah mengintegrasikan elemen pembangunan mampan di dalam strategi dan pelaksanaan tindakannya seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga, Pelan Induk Perindustrian Baharu dan sebagainya.
Pencapaian DPIN 1.0 boleh dilihat di mana isu perubahan iklim telah diarusperdanakan dalam pelbagai dasar-dasar pembangunan negara yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan hijau dan ketahanan iklim seperti Rancangan Pembangunan Negara Lima (5) Tahun (RMK) serta kerangka Ekonomi MADANI.
Sehubungan dengan itu, DPIN 2.0 telah mengenalpasti inisiatif pemangkin yang dapat melonjak tindakan iklim di negara ini. Antaranya adalah seperti berikut:
penggubalan instrumen perundangan perubahan iklim yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun 2025; pelaksanaan Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon (Long Term - Low Emission Development Strategies - LT-LEDS) dan Hala Tuju dan Pelan Tindakan Nationally Determined Contributions (NDC Roadmap) yang sedang dimuktamadkan dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat ini;
pembangunan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) oleh NRES;
penggubalan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) oleh NRES; dan
pewujudan atau penggunaan platform libat urus khas mengenai perubahan iklim sedia ada seperti Panel Penasihat Perubahan Iklim;
Selain itu, keberkesanan pelaksanaan DPIN 2.0 memerlukan kerjasama semua pihak yang mempunyai kuasa terhadap bidang kuasa masing-masing memandangkan isu perubahan iklim adalah merentas sektor dan merentasi pelbagai lapisan masyarakat. Oleh yang demikian, indikator DPIN 2.0 secara amnya adalah tertakluk kepada indikator inisiatif pemangkin ini dan tindakan oleh Kementerian lain yang bertanggungjawab, Pelaksanaan DPIN 2.0 turut dipantau oleh Jawatankuasa Pemandu Perubahan Iklim Negara yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha NRES.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|