Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) menyokong salah satu sasaran penting di bawah Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030 iaitu mewartakan sekurang-kurangnya 20% kawasan perlindungan daratan dan 10% daripada kawasan perlindungan marin menjelang tahun 2030. Pencapaian ini akan memberi faedah jangka panjang dalam aspek kemampanan kepada Kerajaan Negeri serta meningkatkan reputasi negara di mata dunia.
2. Di bawah pelaporan EFT yang diterima bagi tempoh 2021 hingga 2023, sejumlah kira-kira 350,000 hektar kawasan telah diwartakan sebagai kawasan perlindungan baharu meliputi hampir 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan di Kedah, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor serta lebih daripada 250,000 hektar kawasan perlindungan marin di Johor, Melaka dan Sarawak.
3. Bagi tahun 2024, NRES telah mengagihkan peruntukan EFT mengikut penilaian pelaksanaan EFT oleh kerajaan negeri pada tahun 2023 termasuk memperuntukkan 30% untuk kriteria ekologi berasaskan keberhasilan. Sebanyak RM190 juta atau 95% peruntukan telah diagihkan kepada kerajaan negeri untuk tahun 2024.
Sekian, terima kasih.