Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 12 December 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 25 | Soalan | Tuan Hassan bin Abdul Karim [ Pasir Gudang ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sebab sering berlaku kejadian pembuangan sisa toksik kimia di sungai-sungai di Pasir Gudang. Kejadian terbaru pada bulan September 2024 yang lalu. Adakah ini kerana kegagalan kerja-kerja pemantauan oleh Jabatan Alam Sekitar.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa mengambil berat dan berwaspada terhadap insiden pembuangan sisa toksik kimia yang sering berlaku di sungai-sungai sekitar Pasir Gudang. Antara faktor penyumbang kepada isu ini termasuk kepesatan perindustrian di kawasan Pasir Gudang di mana peningkatan jumlah kilang dan industri ini turut membawa kepada peningkatan dalam pengeluaran sisa toksik kimia.
Selain itu, kurangnya kesedaran dan tanggungjawab terhadap kepentingan alam sekitar dalam kalangan pengusaha kilang dan industri telah mendorong sebahagian mereka untuk melanggar peraturan serta undang-undang yang ditetapkan. Tambahan pula, terdapat segelintir pihak yang memilih untuk melupuskan sisa toksik kimia secara haram bagi menjimatkan kos pelupusan, tanpa memikirkan impak negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan masyarakat setempat.
Walau bagaimanapun, NRES terus komited dalam memantau dan menguatkuasakan peraturan-peraturan berkaitan untuk mencegah pencemaran alam sekitar. Bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil, siasatan terperinci perlu dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang terlibat dalam pembuangan sisa toksik secara haram ini. Aktiviti pelupusan haram ini sering dilakukan secara tersembunyi, menyulitkan proses siasatan oleh JAS. Antara faktor yang menyukarkan siasatan JAS adalah seperti berikut:
Ketiadaan bukti lengkap berkaitan kenderaan yang terlibat dalam pelupusan haram buangan terjadual;
Kekurangan maklumat yang boleh mengaitkan buangan yang dilupuskan secara haram ini dengan pengeluar buangan terjadual yang berkenaan; dan
Aktiviti pelupusan dilakukan di kawasan terpencil yang jauh dan terlindung dari laluan utama.
Berhubung perkara ini, NRES juga menyeru orang awam untuk membuat aduan dan laporan kepada JAS melalui talian 1800-88-2727 atau melalui portal e-Aduan dengan segera jika mendapati terdapat aktiviti yang mencurigakan. Tindakan ini amat penting bagi membantu pihak JAS membanteras isu pembuangan sisa toksik kimia secara haram.
Di samping itu, Pihak JAS akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan selaras dengan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling. Pindaan ini meliputi denda sehingga maksimum RM10 juta bagi kesalahan pelupusan haram buangan terjadual. Selain itu, hukuman penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun boleh dikenakan bagi kesalahan-kesalahan tertentu. Nilai kompaun juga telah ditingkatkan daripada RM2,000 kepada maksimum 50% daripada nilai denda maksimum bagi kesalahan berkaitan.
Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) akan diperkasakan melalui Pembangunan Blueprint Pengawasan Alam Sekitar Kebangsaan 2024-2034 yang bertujuan untuk memperkukuh peranan JAS dalam mengawasi dan memantau kualiti alam sekitar secara holistik dan sistematik sehingga tahun 2034. Aktiviti pemantauan ini juga akan terus diperkukuhkan dengan menjalin kerjasama erat bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk melaksanakan rondaan di kawasan-kawasan hotspot kejadian.
Belanjawan tahun 2025 juga telah memberi penekanan terhadap aspek penguatkuasaan alam sekitar melalui usaha pengukuhan penguatkuasaan oleh JAS dan penambahbaikan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dengan peruntukan berjumlah RM3.9 juta. Peruntukan ini boleh dimanfaatkan untuk memantapkan lagi kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan oleh JAS.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|