Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia prihatin dengan kejadian gangguan gajah liar termasuk di Gerik dan Pengkalan Hulu, Perak. Antara langkah-langkah yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:
menjalankan 23 operasi tangkapan gajah dari tahun 2020 hingga 2024 di Hulu Gerik, Perak dan memindahkan kumpulan gajah tersebut ke habitat yang lebih luas, sesuai dan jauh daripada penempatan penduduk;
membina tiga (3) unit Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal di Kg. Bukit Sapi - Kg. Batu Reng, RPS Air Banun dan Bersia bagi mengurangkan pencerobohan gajah dalam kawasan penempatan penduduk;
memasang 4 unit kolar satelit dalam kalangan kumpulan gajah yang telah dikenal pasti pada tahun 2023 bagi memantau pergerakan kumpulan gajah tersebut dan seterusnya mengambil tindakan pencegahan awal sekiranya kumpulan tersebut menghampiri kawasan kampung atau pertanian;
melaksana pengayaan habitat dengan mewujudkan 2 jenut tiruan di bawah lintasan hidupan liar (viaduct) Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) A-PL1 (Hutan Simpan Temengor – Hutan Simpan Amanjaya – Hutan Simpan Belum), Gerik Perak bagi mengalihkan perhatian hidupan liar terutamanya gajah supaya tidak melintasi kawasan jalan raya;
memasang 144 tiang lampu jenis LED di 17 lokasi hotspot kawasan lintasan gajah bagi tujuan pencahayaan dan mengurangkan risiko roadkill;
memasang 12 unit papan tanda lintasan gajah di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) (termasuk 2 billboard); dan
membuat hebahan awam dalam bentuk notifikasi, video pendek dan poster lintasan gajah di media sosial khususnya semasa musim perayaan bagi meningkatkan kesedaran kepada pengguna JRTB mengenai langkah-langkah keselamatan sekiranya berlaku pertembungan dengan gajah.
2. Bagi perancangan jangka panjang, Jabatan PERHILITAN telah membangunkan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (2023-2030) (NECAP 2.0) sebagai panduan dalam melaksanakan pengurusan gajah yang lebih menyeluruh termasuk mengadakan program kesedaran awam ke arah kewujudan bersama (co-existence) bersama pemegang taruh bagi memberi kesedaran mengenai pengurusan konflik hidupan liar.
3. Salah satu pendekatan yang dilaksanakan ialah untuk membangunkan santuari gajah. Dalam hubungan ini, Jabatan PERHILITAN bersama kerjasama Kerajaan Negeri Perak telah mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembangunan Tapak Santuari Gajah Perak yang berkeluasan lebih kurang 197 ekar di Parlimen Gerik. Projek Santuari Gajah Perak akan dibangunkan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).
Sekian, terima kasih.