Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 09 December 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Tanah, Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 29 | Soalan | Tuan Mohd Sany bin Hamzan [ Hulu Langat ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan : (a) berapa potensi nilai komersial Tanah Rizab Melayu yang masih belum diteroka bagi tahun 2023 dan 2024; dan (b) apakah status projek tebatan banjir di Hulu Langat setakat ini. | Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menerusi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) bertanggungjawab untuk mengumpulkan data berkaitan Tanah Rizab Melayu, selaras dengan keputusan yang telah dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-69 pada 10 Disember 2013. Namun, perlu dijelaskan bahawa JKPTG tidak memiliki maklumat mengenai potensi nilai Tanah Rizab Melayu yang masih belum diterokai. Pihak yang berkepentingan adalah disarankan untuk merujuk kepada Pihak Berkuasa Negeri yang berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan input daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), perancangan jangka masa panjang dalam mengurangkan risiko banjir adalah melalui projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 1, 2 dan 3 yang melibatkan Daerah Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat. Projek RTB Sungai Langat Fasa 2, Selangor: Pakej 1 Daerah Hulu Langat dan Pakej 3: Daerah Kuala Langat telah dimohon di dalam Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2024 dan telah melalui sesi pemeriksaan bajet. Walau bagaimanapun, kelulusan adalah bergantung kepada pertimbangan Kementerian Ekonomi.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|