Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

03 December 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

36

Soalan

Dato' Sri Tuan Ibharim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :

(a) apakah status penubuhan Pusat Bencana Geologi Negara seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada hujung tahun 2023; dan

(b) adakah Kementerian bercadang untuk melibatkan lebih ramai pakar geosains untuk terlibat dalam pengurusan perancangan bandar.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Apakah status penubuhan Pusat Bencana Geologi Negara seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada hujung tahun 2023;


Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Februari 2024 telah bersetuju secara prinsip dengan penubuhan Pusat Bencana Geologi Negara (PBGN)  di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) tertakluk kepada penyelarasan dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kerja Raya. Pusat ini akan beroperasi dengan efisien, efektif dan ekonomik dengan 50 perjawatan.


Cadangan awal penubuhan PBGN ini adalah susulan daripada daripada kejadian banjir puing yang berlaku pada 4 Julai 2022 di Sungai  Kupang yang telah mengorbankan tiga (3) nyawa, 17 buah rumah musnah dengan anggaran kerugian ekonomi sebanyak RM25.9 juta.


PBGN akan melaksanakan penyelidikan berimpak tinggi, penyiasatan geologi forensik, pemantauan berkala, pembangunan model ramalan serta sistem amaran awal bencana geologi serta program kesedaran awam terutama di kawasan rentan bencana geologi. Dengan penubuhan PBGN ini, bencana geologi seperti banjir puing, tanah runtuh dan mendapan tanah dapat ditangani dengan lebih efisien, mengurangkan impak bencana serta meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.


Sehingga kini, Kementerian telah selesai melaksanakan penyelarasan bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan permohonan perjawatan juga telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Kementerian mensasarkan PBGN dapat beroperasi pada tahun 2025.  

 

(b)   Adakah Kementerian bercadang untuk melibatkan lebih ramai pakar geosains untuk terlibat dalam pengurusan perancangan bandar.


Kementerian sentiasa komited dalam usaha Kerajaan untuk mencapai agenda pembangunan mampan melalui penglibatan bidang kepakaran geosains di dalam pengurusan perancangan bandar  seperti bidang geologi kejuruteraan, hidrogeologi dan geofizik.  Antara peranan dan sumbangan kepakaran geosains di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dalam aspek perancangan bandar  adalah menyediakan khidmat nasihat teknikal di peringkat Kebenaran Merancang (KM) untuk pemajuan melalui ulasan di dalam OSC. JMG dengan kepakaran teknikal berkaitan akan menilai dari aspek geologi permukaan dan subpermukaan.


Kementerian melalui JMG turut terlibat di dalam perancangan pembangunan negara antaranya melalui Rancangan Pembangunan Fizikal Negara (RPFN), Jawatankuasa Pembangunan Wilayah serta Rancangan Tempatan dalam memberi input berkaitan geologi termasuk menandakan:

  1. kawasan dan komuniti rentan bencana geologi seperti tanah runtuh, lubang benam, gempa bumi dan tanah mendap;

  2. kawasan berisiko bencana geologi;

  3. kawasan yang mempunyai kekangan geologi;

  1. kawasan dengan kelas kesesuaian untuk pembangunan berdasarkan kaedah pemetaan geologi terain (tanah tinggi);

  2. kawasan potensi warisan geologi dan geotapak;

  3. kawasan hotspot tanah runtuh dan cerun kritikal;

  4. kawasan potensi sumber mineral;

  5. kawasan kuari serta lombong; dan

  6. akuifer air bawah tanah.


Input yang disediakan menggunakan sumber kepakaran geosains yang dimiliki oleh JMG ini digunakan oleh Kementerian/Agensi yang berkenaan dalam merangka dan menetapkan dasar-dasar dan hala tuju strategik rancangan pembangunan di setiap peringkat.


Penubuhan PBGN seperti yang dinyatakan sebelum ini juga akan melibatkan pertambahan sebanyak 22 perjawatan Pegawai Geosains yang akan memberikan nilai tambah di dalam pengurusan perancangan bandar di mana aspek pengurusan dan pengurangan risiko bencana geologi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

 

Sekian, terima kasih.​

Attachments