Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 03 December 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 35 | Soalan | Dato' Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [ Kuala Langat ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh mana industri kitar semula mampu menjana kemampanan ekonomi negara dan apakah perancangan Kementerian untuk memastikan pembakaran terbuka dapat diatasi sebaiknya terutama di Kuala Langat.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kitar semula memainkan peranan penting dalam mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, seterusnya membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar. Di Malaysia, pelaksanaan kitar semula adalah di bawah pelbagai Kementerian misalnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pengurusan sisa pepejal, manakala bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bertanggungjawab dalam pengurusan buangan terjadual yang dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Pengurusan buangan terjadual ini dilaksanakan melalui konsep cradle to cradle, yang bertujuan memastikan sisa diurus secara mampan dari awal hingga akhir kitaran hayat. Konsep ini merangkumi kaedah 4R seperti berikut:
Pengurangan (reduction): ianya melibatkan kaedah waste reduction dan waste minimization;
Guna semula (re-use): ianya melibatkan kaedah waste utilization dan waste-to-energy (WTE); dan
Resource recovery melalui kitar semula (recycling) dan pemerolehan kembali (recovery);
Pelaksanaan konsep ekonomi kitaran dalam pengurusan buangan terjadual membolehkan ianya diguna semula dan dijadikan bahan mentah atau additive dalam penghasilan produk yang lain. Buangan terjadual yang berpotensi untuk diguna semula atau diperoleh kembali (material recovery) akan meminimakan kebergantungan untuk melupuskan buangan ke tapak pelupusan selamat (secured landfill) dan tapak pelupusan sanitari. Selain itu, ianya juga mampu menjana kemampanan ekonomi negara melalui pengurangan penggunaan sumber, nilai bahan yang diperoleh kembali, nilai energy recovery dan pengurangan kos pelupusan.
Seterusnya, industri kitar semula dapat membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang seperti pengumpulan, pemprosesan, dan pengedaran bahan kitar semula. Dengan mempromosikan penggunaan semula dan kitar semula, Malaysia dapat bergerak ke arah pelaksanaan ekonomi kitaran yang lebih mampan di samping memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Demi memastikan pembakaran terbuka dapat diatasi sebaiknya terutama di Kuala Langat, Kementerian ini melalui JAS sentiasa dalam keadaan siap siaga dengan perancangan berikut:
Mempertingkatkan penguatkuasaan Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 iaitu larangan terhadap pembakaran terbuka dan mengenakan tindakan yang tegas kepada pelaku pembakaran terbuka;
Mempertingkatkan rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) di kawasan yang mudah/ sering terbakar seperti tanah gambut.
Penggunaan peralatan dron berkapasiti tinggi turut diperluaskan bagi memantau kawasan-kawasan yang berisiko tinggi;
Menjalin kerjasama pintar bersama pengusaha pertanian dan pembangunan dalam usaha untuk membantu mengurus dan mencegah kebakaran terutama di kawasan mudah terbakar;
Mempertingkatkan kempen kesedaran alam sekitar di peringkat komuniti, institusi pengajian tinggi, sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam mengenai bahaya pembakaran terbuka terhadap kesihatan dan alam sekitar serta memberi maklumat ringkas inisiatif kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka; dan
Bekerjasama dengan agensi lain dalam mengesan dan menangani aktiviti pembakaran terbuka seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Pejabat Tanah dan Galian.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|