Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

03 December 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

19

Soalan

Tuan Hassan bin Abdul Karim [ Pasir Gudang ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan usaha yang telah diambil oleh Kerajaan untuk memperkemas Akta Pengambilan Tanah Tahun 1960 (Akta 486) untuk mengelakkan agar tidak berulang lagi kes Kerajaan diarah serah tanah Jalan Duta seperti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, 6 Ogos 2024.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Akta Pengambilan Tanah 1960 [Akta 486] telah berkuatkuasa mulai 13 Oktober 1960 bertujuan untuk menyeragamkan undang-undang berkaitan pengambilan tanah, penilaian terhadap pampasan pengambilan tanah dan perkara-perkara lain yang bersampingan dengannya. Sebelum 1960, kerajaan melaksanakan pengambilan tanah berdasarkan Land Acquisition Enactment Cap 140. Antara contoh pengambilan tanah yang telah dibuat mengikut Cap 140 adalah kawasan dahulunya dikenali sebagai Diplomatic Enclave dan kini menempatkan bangunan-bangunan kerajaan seperti Kompleks Jalan Duta.

Akta 486 telah digubal selaras dengan Perkara Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai. Prosedur pengambilan tanah di bawah Akta ini telah dilengkapkan sehingga kepada pengeluaran Borang K iaitu pengambil milikan tanah secara rasmi bagi mengelakkan berulangnya kes di mana Kerajaan diarah menyerahkan semula tanah kepada pemilik.

Bagi melindungi hak pemilik tanah, Akta 486 juga memberi ruang kepada pemilik tanah untuk membuat bantahan kepada Mahkamah berkenaan sukatan (pengukuran) tanah, amaun pampasan, orang yang kepadanya pampasan itu boleh dibayar dan pembahagian pampasan itu. Selain itu, agensi pemohon juga boleh membuat bantahan terhadap amaun pampasan yang diputuskan oleh Pentadbir Tanah kepada Mahkamah.

Kerajaan melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) sentiasa berusaha untuk menambah baik perundangan berkaitan pengambilan tanah selari dengan tren dan pola pembangunan, termasuk pengambilan tanah bawah tanah dan pengambilan strata. 

Ke arah itu, JKPTG akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkuasa negeri dan pihak-pihak berkepentingan sebelum memuktamadkan cadangan pindaan untuk diangkat bagi mendapatkan pertimbangan Kerajaan. 


Sekian, terima kasih.​

Attachments