Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

27 November 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

13

Soalan

Tuan Ganabatirau al Veraman [ Klang ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan adakah Kerajaan akan mengkaji semula piawaian pembangunan di kawasan bekas perlombongan dari segi kawalan kejuruteraan geoteknikal dan penyelenggaraan infrastruktur bawah tanah untuk mengelak pergerakan tanah dan tanah mendap.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Secara umumnya, kawasan bekas perlombongan adalah antara kawasan sensitif geologi yang mempunyai elemen kekangan geologi dan ancaman bahaya geologi. Kekangan geologi ini adalah disebabkan bahan tanah/batuan yang lemah dan berstruktur longgar hasil daripada aktiviti pengorekan dan peletupan perlombongan terdahulu. Hal ini boleh menyebabkan ancaman tanah jerlus dan tanah mendap terutamanya apabila kawasan ini dibangunkan semula.


  1. Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) berperanan sebagai Agensi Teknikal Luaran (ATL) dalam memberikan ulasan cadangan pemajuan di Pusat Sehenti Pihak Berkuasa Tempatan (OSC PBT) di semua kawasan pembangunan yang melibatkan kawasan sensitif geologi termasuklah pembangunan semula kawasan berpandukan Garis Panduan Ulasan Cadangan Pemajuan untuk OSC PBT (JMG.GP.08) Edisi 2.


  1. Selain itu, JMG juga berperanan sebagai ahli jawatankuasa yang memberikan input geosains dan mineral terhadap cadangan pemajuan di kawasan bekas lombong yang tertakluk kepada Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Antara garis panduan yang digunapakai sebagai rujukan adalah Garis Panduan Pemetaan Geologi Kejuruteraan di Kawasan Tanah Gambut dan Tanih Lembut (GP.JMG.07) dan Garis Panduan Pemetaan Geologi Terain (GP.JMG.06).


  1. Justeru itu, garis panduan/piawaian yang menggariskan amalan terbaik pengurusan bencana geologi termasuk tanah jerlus dan tanah mendap sentiasa disemak dan dikemaskini dari semasa ke semasa bagi memastikan ia sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa serta mendepani impak kesan perubahan iklim.

Sekian, terima kasih.



Attachments