Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 27 November 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Ukur dan Pemetaan, Geospatial | Nombor Soalan | 3 | Soalan | Tuan Zahir bin Hassan [ Wangsa Maju ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan : status terkini Dasar Pemetaan Utiliti Bawah Tanah dan juga pengaplikasian Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan (PADU) oleh JUPEM; dan status kemajuan kajian perundangan berkaitan pemetaan utiliti bawah tanah dalam RMKe-12.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melalui Bahagian Pemetaan Utiliti telah melaksanakan Kajian Dasar Pemetaan Utiliti Bawah Tanah (National Underground Utility Mapping Policy). Pada masa ini, hasil kajian tersebut sedang dikemaskini serta ditambah baik dan akan dibentangkan kepada pihak Kementerian untuk hala tuju seterusnya.
Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan (PADU) pula telah dibangunkan pada tahun 2006 dan merangkumi 7 kategori lapisan data spatial iaitu maklumat Binaan, Kadaster, Hidrografi, Pengangkutan, Hipsografi, Topografi dan Utiliti (iaitu elektrik, air, gas/minyak, pembentungan dan telekomunikasi). Maklumat dan data pemetaan utiliti bawah tanah di dalam PADU adalah berdasarkan perkongsian oleh agensi-agensi pembekal utiliti seperti Indah Water Konsortium Sdn. Bhd., Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia Berhad (TM), Pengurusan Air Selangor, Gas Malaysia serta melalui data yang dibekalkan oleh Juruukur Tanah Berlesen (JTB) serta JUPEM sendiri.
PADU digunakan sebagai sumber rujukan dalam pengurusan data dan maklumat pemetaan utiliti bawah tanah di negara ini. Data-data PADU dikawal selia oleh JUPEM dengan pengawalan Kualiti Data B di mana pengukuran dan pengesanan dilaksanakan menggunakan peralatan seperti Ground Penetrating Radar (GPR), Pipe Cable Locator (PCL) dan juga alat Global Navigation Satellite System (GNSS).
PADU dapat membantu Kerajaan untuk melaksanakan perancangan dan pembangunan sesuatu kawasan serta boleh digunakan bagi kes-kes bencana terutamanya yang melibatkan utiliti bawah tanah. Data-data di dalam PADU diklasifikasikan sebagai terhad dan tidak boleh dikongsikan kepada umum.
Berhubung status kemajuan kajian perundangan berkaitan pemetaan utiliti bawah tanah di bawah RMKe-12, pada masa ini kajian tersebut sedang dilaksanakan oleh JUPEM untuk tempoh 2 tahun bermula dari Ogos 2023 hingga Ogos 2025. Kajian ini turut melibatkan beberapa kementerian, jabatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pengurus utiliti negeri dan agensi penyedia utiliti bagi mendapatkan input serta cadangan yang sesuai ke arah penyediaan kerangka perundangan bagi pemetaan utiliti bawah tanah di negara ini. Kajian ini juga melibatkan semakan kepada Perlembagaan dan perundangan sedia ada yang lain.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|