Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

21 November 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

37

Soalan

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [ Dungun ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan libat urus dan rundingan yang dibuat dengan Kerajaan-kerajaan Negeri dalam merangka rang undang-undang pengangkutan karbon rentas sempadan bagi menjamin perlindungan kepentingan negeri dalam perdagangan karbon.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Bermula pada bulan Julai 2024, NRES telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri, agensi Kerajaan di peringkat persekutuan, persatuan, pihak swasta dan lain-lain bagi mendapatkan input dan maklum balas awal mengenai pembangunan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK). DPKK akan menetapkan hala tuju perdagangan kredit karbon di bawah pasaran pematuhan dan sukarela samada di peringkat domestik mahupun antarabangsa. 

2. Sesi libat urus ini bukan sahaja dilaksanakan di peringkat pegawai, malah turut dilaksanakan di peringkat pengurusan tertinggi dan Menteri. Sehingga kini, NRES telah mengadakan sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Perlis, Terengganu, Johor, Pahang, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Sabah dan akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pihak negeri yang lain. 

3. Dalam sesi libat urus yang dilaksanakan, Kementerian telah memaklumkan prinsip-prinsip yang diamalkan dalam membangunkan DPKK. Antaranya adalah mengenai hak Kerajaan Negeri bagi perkara berkaitan sumber asli dan hasil negeri akan sentiasa dihormati selaras dengan perlembagaan persekutuan. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan dilibatkan dalam perbincangan dan pembangunan dasar-dasar perubahan iklim yang berkaitan bagi memastikan kepentingan Kerajaan Negeri sentiasa terpelihara.

4. Selain itu, Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 14 Jun 2024 juga telah bersetuju dengan Penubuhan Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan yang akan melibatkan kerajaan-kerajaan negeri serta pihak berkepentingan berkaitan bagi memastikan peralihan kepada pembangunan rendah karbon dilaksanakan secara teratur, seimbang dan mengambil kira pandangan pemegang taruh khususnya Kerajaan Negeri.

Sekian, terima kasih. ​

Attachments