Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 21 November 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 17 | Soalan | Dato' Sri Doris Sophia anak Brodi [ Sri Aman ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan penjelasan mengenai strategi pembangunan ekonomi yang berasaskan sumber asli termasuk pengurusan dan pelestarian sumber untuk memastikan kelanjutan jangka panjang.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Negara Malaysia kaya dengan pelbagai sumber asli yang menjadi pemacu utama kepada pembangunan ekonomi termasuk sektor mineral dan perhutanan. Kementerian ini memainkan peranan penting dalam agenda kelestarian alam dan juga komitmen di peringkat nasional dan antarabangsa. Ini termasuklah soal pengurusan alam sekitar, usaha pemuliharaan dan perlindungan hutan dan kepelbagaian biologi serta memperkasa kecekapan tadbir urus sumber semula jadi bagi menjamin kelestarian pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Kerajaan telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan kelanjutan jangka panjang dalam melaksanakan strategi pembangunan ekonomi yang berasaskan sumber asli termasuk pengurusan dan pelestarian sumber.
Kementerian telah menetapkan hala tuju industri mineral negara bagi tempoh 2021 hingga 2030 berteraskan pembangunan secara menyeluruh meliputi keseluruhan rantaian nilai dan pelaksanaan secara teratur dan efisien. Kementerian telah menetapkan beberapa strategi di bawah Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) dan Dasar Mineral Negara 3 (DMN3) iaitu pembangunan keseluruhan rantaian nilai industri mineral, penekanan terhadap konsep ekonomi kitaran atau circular economy dan galakan penggiat industri untuk membangunkan konsep urban mining sebagai inisiatif Kerajaan untuk menggalakkan penggunaan mineral secara optimum dan mampan serta bertanggungjawab. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, hutan juga merupakan antara sumber asli negara yang penting dimana pengusahasilan hutan masih diperlukan terutamanya untuk pembangunan ekonomi di negeri-negeri. Dalam hal ini, Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri terus komited dalam melaksanakan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) yang memberikan penekanan terhadap keseimbangan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan hutan serta fungsinya dalam pembangunan sosioekonomi di negeri-negeri.
Pengurusan hutan di Malaysia adalah berteraskan prinsip PHSB yang berpandukan kepada Dasar Perhutanan Malaysia. Perkara ini adalah selaras dengan komitmen negara terhadap ketetapan di bawah Forum Perhutanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Forum on Forests - UNFF). Antara elemen utama yang diamalkan di bawah PHSB adalah Catuan Tebangan Tahunan (CTT), pembalakan berimpak rendah (Reduce Impact Logging - RIL), pematuhan Kriteria dan Petunjuk Bagi PHSB Malaysia (Malaysian Criteria and Indicator for Sustainable Forest Management – MC&I), urus tadbir sektor perhutanan dikawal selia melalui Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] dan ordinan/enakmen perhutanan di negeri-negeri serta penggunaan kepelbagaian fungsi dan perkhidmatan ekosistem hutan melalui pembangunan ekopelancongan.
Kerajaan sedar bahawa sumber asli adalah terhad dan perlu dikawal agar manfaatnya dapat dirasai untuk generasi akan datang. Secara keseluruhannya, kerajaan komited untuk memastikan pembangunan ekonomi berasaskan sumber asli dijalankan secara seimbang antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar termasuklah melalui perkembangan teknologi semasa dan kolaborasi dengan pelbagai pihak. Usaha-usaha ini penting bagi memastikan bahawa sumber-sumber ini dapat terus memberi manfaat kepada generasi akan datang, serta menyumbang kepada kemakmuran negara secara mampan.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|