Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, perubahan iklim adalah masalah global yang dihadapi oleh semua negara di dunia ini. Semua negara tidak terkecuali daripada kesan perubahan iklim seperti peningkatan suhu, cuaca ekstrem, taufan yang kuat dan peningkatan paras air laut.
2. Kementerian ini juga sedar akan risiko bencana hidro-iklim yang disebabkan oleh impak perubahan iklim seperti risiko peningkatan suhu dan episod pengurangan hujan semasa musim kering yang membawa kepada pelbagai masalah kesihatan, kekurangan sumber air, risiko kebakaran dan jerebu. Oleh itu, Kementerian ini sedang membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP). MyNAP akan mengambil kira perancangan dan strategi pelaksanaan adaptasi di bawah PETRA bagi sektor air antara lain seperti berikut:
Pelaksanaan reka bentuk infrastruktur adaptif yang berdaya tahan terhadap kesan bencana hidro-iklim seperti kenaikan paras laut, banjir dan musim kering. Ia termasuklah pembinaan sistem perparitan dan struktur tebatan banjir yang lebih berkesan, pembinaan ban dan struktur perlindungan pantai yang mengambil kira faktor perubahan iklim dan peningkatan aras laut di dalam elemen reka bentuk masing-masing.
Reka bentuk infrastruktur kritikal seperti kemudahan tenaga dan loji rawatan air yang boleh berfungsi dengan berkesan semasa musim kering dan akan membantu dalam mengekalkan perkhidmatan penting serta mencegah gangguan operasi bekalan air.
peningkatan penggunaan teknologi bangunan hijau dan penggabungan sumber tenaga boleh diperbaharui. Dengan menggalakkan amalan cekap tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon, sasaran kita adalah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih mampan dan berdaya tahan iklim pada masa hadapan.
langkah-langkah adaptasi yang efektif bagi episod musim kering, contohnya melalui pelaksanaan teknologi cekap air, seperti sistem pengairan pintar, penuaian air hujan dan kitar semula air sisa terawat (air pulih guna), meningkatkan kapasiti takungan sedia ada dan mewujudkan kemudahan penyimpanan tambahan boleh membantu memastikan bekalan air yang stabil semasa musim kemarau yang berpanjangan. Ini termasuk takungan bawah tanah dan takungan air pinggiran sungai (TAPS) yang direkabentuk untuk menakung air lebihan semasa musim hujan dan boleh digunakan semula semasa musim kering.
3. NRES juga secara aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan perniagaan serta pakar iklim antarabangsa untuk berkongsi amalan terbaik dan menerima pakai penyelesaian yang inovatif. Melalui amalan perkongsian pintar ini, kementerian menyasarkan untuk memanfaatkan pelbagai kepakaran bagi menangani perubahan iklim dengan berkesan.
4. Kementerian juga amat komited untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai tentang isu perubahan iklim yang melibatkan pelbagai peringkat seperti penglibatan kumpulan rentan dan komuniti tempatan. Melalui bengkel, program komuniti dan inisiatif pendidikan, kementerian menyasarkan untuk menggalakkan amalan mampan dan membina budaya daya tahan dalam rantau ini.
Sekian, terima kasih.