Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 18 November 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perhutanan | Nombor Soalan | 18 | Soalan | Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kasim [ Arau ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan : (a) keluasan kawasan hutan simpanan kekal yang diceroboh; dan (b) apakah langkah-langkah yang diambil untuk penguatkuasaan dan penanaman semula.​ | Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Soalan (a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, aktiviti penerokaan haram dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 selaras dengan seksyen 32 iaitu pendudukan atau penjalanan aktiviti tanpa kebenaran. Manakala, seksyen 81 pula memperuntukkan perbuatan-perbuatan yang dilarang dalam HSK seperti melepaskan ternakan, membersih atau membajak tanah, menangkap ikan dan merosakkan atau menebang mana-mana pokok. Mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM100 ribu dan hukuman penjara sehingga hingga 7 tahun atau kedua-duanya.
Sehingga 31 Disember 2023, seluas 38,376.78 hektar kawasan HSK yang melibatkan 1,074 lokasi di Semenanjung Malaysia telah diteroka secara haram dengan pelbagai aktiviti seperti pertanian (penanaman pokok kelapa sawit, pisang, getah, durian, dokong, koko, sayur-sayuran dan lain-lain), perlombongan, penempatan, pembinaan bangunan, pembinaan jeti, aktiviti akuakultur, tanah perkuburan, kawasan rekreasi, gerai makan dan bangunan keagamaan.
Soalan (b) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri mengambil langkah proaktif dalam membanteras aktiviti penerokaan atau pencerobohan haram dalam kawasan HSK, antaranya:
memperkasa operasi Pusat Pemantauan Sumber Hutan sebagai sebuah hub berpusat (one stop centre) di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang bertujuan memantau sumber hutan negara. Pemantauan dilaksanakan melalui sistem Forest Monitoring using Remote Sensing (FMRS) bagi mengesan sebarang perubahan litupan kawasan berhutan yang berlaku di dalam HSK; melaksanakan inisiatif Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) yang dibangunkan oleh Jabatan Hutan Sarawak di mana sistem ini berupaya untuk menggabungkan analisis imej satelit setiap minggu, menentusahkan titik kordinat di lapangan menggunakan pesawat hyperspectral yang dilengkapi kamera dan seterusnya maklumat disalurkan kepada pasukan di lapangan untuk tindakan penguatkuasaan; menggunakan imej satelit sebagai langkah pemantauan jarak jauh (remote sensing) melalui sistem aplikasi iForSabah yang dibangunkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah dan Agensi Angkasa Malaysia untuk mengesan sebarang perubahan yang berlaku dalam kawasan hutan simpan di Sabah; dan memperkasa perundangan perhutanan melalui Akta Perhutanan Negara (pindaan) 2022 yang telah diwarta pada 20 September 2022 bagi memperkukuhkan kuasa pegawai penguatkuasaan​ dalam membanteras jenayah hutan dan meningkatkan kadar jumlah denda dan hukuman ke atas pesalah.
Selain itu, bagi aktiviti penanaman semula, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM100 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pelaksanaan Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemuliharaan Kawasan Hutan Terosot di Semenanjung Malaysia yang mana melibatkan seluas 1,640 hektar kawasan hutan terosot akibat penerokaan atau bencana alam. Sehingga kini, seluas 1,235 hektar kawasan hutan terosot telah dipulihkan dengan penanaman sebanyak 731,176 pokok hutan pelbagai spesies melibatkan kawasan hutan terosot yang berada di dalam dan luar kawasan HSK.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|