Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia telah menggerakkan usaha untuk mengukuhkan pemuliharaan spesies hidupan liar termasuk Harimau Malaya melalui langkah-langkah berikut:
melaksanakan 9 tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya dalam tempoh 10 tahun bermula tahun 2021 hingga 2030 selaras dengan persetujuan Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021;
mengukuhkan kerangka perundangan melalui pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] bagi meningkatkan kadar hukuman dan penalti yang melibatkan jenayah pemburuan dan penyeludupan haram hidupan liar; dan
mengukuhkan penguatkuasaan melalui kerjasama strategik dengan agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Negeri, agensi-agensi penguatkuasaan negeri dan badan bukan kerajaan melalui Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme - BP3).
2. Kerajaan Persekutuan melalui NRES juga telah menyediakan insentif Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada kerajaan negeri bagi meningkatkan keluasan dan pengurusan kawasan perlindungan (protected areas) termasuk habitat Harimau Malaya. Dari tahun 2019 hingga 2024, sebanyak RM550 juta peruntukan EFT telah disediakan dan pada tahun 2024 sahaja sebanyak RM200 juta kepada kerajaan negeri.
3. Dalam aspek penguatkuasaan, Jabatan PERHILITAN telah mengukuhkan platform kerjasama penguatkuasaan dan perkongsian maklumat dengan PDRM dan INTERPOL serta agensi-agensi berkaitan bagi membanteras penyeludupan hidupan liar melalui usaha-usaha berikut:
melaksanakan penyiasatan melalui Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613];
memperkasakan Wildlife Crime Unit (WCU) yang bertindak sebagai flying squad dalam mengambil tindakan penguatkuasaan berkaitan jenayah hidupan liar di seluruh Semenanjung Malaysia; dan
mewujudkan Unit Perisikan Jenayah Hidupan Liar yang bertanggungjawab mengumpul maklumat penjenayah hidupan liar.
4. Dalam aspek konservasi ex-situ, Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan (MFHLK) Jabatan PERHILITAN memainkan peranan penting bagi mengukuhkan penyediaan bukti forensik untuk membantu kes pendakwaan. Selain itu, Makmal ini juga menerajui program bagi meningkatkan bilangan Harimau Malaya di dalam kurungan melalui pembiakan semula jadi dan penggunaan teknologi pembiakan berbantu (Assisted Reproductive Technology - ART).
5. Jabatan PERHILITAN juga sentiasa mempergiatkan aktiviti komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memulihara Harimau Malaya. Dalam hubungan ini, Jabatan PERHILITAN telah melancarkan Kempen Selamatkan Harimau Malaya (SHM) merangkumi program konservasi dan penguatkuasaan; kesedaran awam; publisiti dan promosi; program penajaan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Sekian, terima kasih.