Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) pada tahun 2019 bagi menggalakkan Kerajaan Negeri mengukuhkan pengurusan kawasan perlindungan. Sehingga kini, sejumlah RM550 juta telah diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan EFT sejak tahun 2019 iaitu sebanyak RM60 juta pada tahun 2019; RM70 juta masing-masing pada tahun 2021 dan 2022; RM150 juta pada tahun 2023; dan RM200 juta pada tahun 2024.
2. Justeru, untuk menambah nilai pemberian EFT, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah menambah baik pelaksanaan EFT sejak diberi mandat untuk menguruskannya bermula pada tahun 2022 selaras dengan keputusan Majlis Kewangan Negara pada 26 April 2022. Antara aspek yang telah ditambah baik ialah pengenalan kriteria ekologi berasaskan keberhasilan (performance-based ecological criteria) pada tahun 2023 di mana prestasi pelaksanaan EFT oleh kerajaan negeri akan menentukan 30 peratus daripada jumlah EFT yang akan diterima oleh negeri pada tahun berikutnya. Mekanisme ini berbeza pada tahun 2019 hingga 2022 di mana pengagihan EFT pada tahun tersebut ditentukan sepenuhnya oleh keluasan kawasan perlindungan negeri sedia ada.
3. NRES juga telah mengadakan Sesi Townhall Pelaksanaan EFT bersama Pejabat Kewangan Negeri; Unit/ Bahagian Perancang Ekonomi Negeri serta wakil daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan pada 20 Mei 2024 untuk membincangkan mengenai strategi bagi mengukuhkan impak pelaksanaan EFT dengan memberi penekanan kepada aspek kualiti dan keberhasilan. Antara cadangan yang diterima ialah untuk meningkatkan peratusan penilaian bagi kriteria ekologi berasaskan keberhasilan daripada 30 peratus pada masa ini kepada 50 peratus. Cadangan penambahbaikan ini akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kewangan Negara untuk pertimbangan.
4. NRES sentiasa menekankan keperluan Kerajaan Negeri untuk memanfaatkan peruntukan EFT secara optimum dengan melindungi, memulihara dan mewartakan kawasan perlindungan yang merupakan kawasan penting bagi perkhidmatan ekosistem termasuk sebagai kawasan tadahan air dan perlindungan hidupan liar.
Sekian, terima kasih.