Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

23 October 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

24

Soalan

Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [ Permatang Pauh ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan usaha Kerajaan dalam menyelesaikan aset beku umat Islam yang sudah melebihi RM100 bilion.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Dalam konteks harta pusaka,  aset beku bermaksud harta milik si mati yang masih belum diuruskan pengagihan kepada waris-waris yang berhak. Hal ini berlaku kerana tiada sebarang permohonan daripada waris si mati untuk mendapatkan Surat Kuasa Tadbir atau Perintah Pengagihan dari agensi yang berkuatkuasa menurut perundangan di Malaysia. 


  1. Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (JKPTG) merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang diberi kuasa menerusi Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98] bagi menguruskan pembahagian harta pusaka kecil bernilai tidak melebihi RM5 juta. Tanggungjawab ini dilaksanakan oleh JKPTG berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh waris si mati. Pihak JKPTG tidak mempunyai maklumat mengenai harta pusaka individu yang tidak dipohon petisyen pengagihan di bawah Seksyen 8, Akta 98. Oleh yang demikian, dakwaan bahawa nilai aset beku umat Islam sudah melebihi RM100 bilion adalah tidak tepat dan boleh dipertikaikan. 


  1. Sebagai alternatif bagi menangani masalah aset beku, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menerusi JKPTG telah menguatkuasakan pindaan Akta 98 menerusi Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022 [Akta A1643] mulai 15 Julai 2024. Melalui pindaan tersebut, bidang kuasa JKPTG dalam urusan pembahagian harta pusaka kecil telah dinaikkan daripada RM 2 juta kepada RM 5 juta serta merangkumi kedua-dua aset alih dan aset tak alih. Langkah ini dapat menggalakkan waris si mati mengemukakan petisyen pembahagian setelah menimbangkan faktor seperti:


(a)  kos pengurusan yang lebih rendah kerana tidak perlu membayar kos guaman sekiranya kes dirujuk ke Mahkamah Tinggi; dan

(b) permohonan pembahagian pusaka yang melibatkan harta alih sahaja kini boleh dirujuk kepada pihak JKPTG sebagai alternatif kepada Amanah Raya Berhad yang mengenakan caj yang lebih kompetitif.


  1. Dengan pindaan ini, waris si mati boleh mendapatkan perkhidmatan pembahagian harta pusaka yang disediakan oleh Kerajaan melalui JKPTG dengan kos yang minima. 


Sekian, terima kasih.



Attachments