Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedar akan risiko bencana hidro-iklim yang disebabkan oleh impak perubahan iklim terhadap Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura seperti kejadian banjir akibat episod hujan ekstrem, senario kenaikan aras laut yang berisiko menyebabkan hakisan dan banjir di kawasan pesisir pantai serta risiko peningkatan suhu dan episod pengurangan hujan semasa musim kering yang membawa kepada pelbagai masalah kesihatan, kekurangan sumber air, risiko kebakaran dan jerebu.
2. Dalam usaha untuk menangani impak berkaitan perubahan iklim di Malaysia, Kementerian ini dengan kerjasama dan sokongan daripada Kementerian dan agensi terlibat sedang membangunkan strategi adaptasi yang komprehensif iaitu Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP). Antara perancangan dan strategi adaptasi yang akan dipertimbangkan dalam pembangunan MyNAP bagi menghadapi impak bencana hidro-iklim adalah pembinaan infrastruktur yang tahan lasak terhadap bencana hidro-iklim seperti banjir, kenaikan paras laut, dan musim kering, termasuk sistem perparitan dan perlindungan persisir pantai yang lebih berkesan. MyNAP akan memberikan gambaran keseluruhan serta solusi bagi mengurangkan ancaman perubahan iklim di negara kita.
3. Infrastruktur kritikal seperti loji rawatan air dan kemudahan pembekalan tenaga akan ditambahbaik bagi memastikan ianya terus berfungsi walau di musim kering yang melampau. Sistem pengurusan banjir pula akan diperkukuh melalui pendekatan seperti Nature Based Solutions (NBS), serta menaik taraf empangan dan saliran untuk meningkatkan keupayaan pengurusan air.
4. Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang turut bertanggungjawab memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan Iskandar, Johor dengan kerjasama Pakar Teknikal daripada Climate Technology Centre and Network (CTCN) sedang membangunkan 'Multi-Hazard Platform' bagi meramalkan iklim ekstrem dan risiko bahaya yang akan dihadapi oleh Iskandar Malaysia.
5. Dalam menangani kesan peningkatan suhu pula, teknologi bangunan hijau dan sumber tenaga boleh diperbaharui akan diperluas dan diintergrasikan dalam pelan pembangunan kawasan industri bagi mewujudkan persekitaran yang lebih mampan. Langkah-langkah seperti penggunaan teknologi cekap air, system penuaian air hujan, dan pembinaan takungan tambahan juga akan membantu memastikan bekalan air yang stabil semasa musim kemarau.
6. Kementerian juga secara aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan perniagaan serta pakar iklim antarabangsa untuk berkongsi amalan terbaik dan menerima pakai penyelesaian yang inovatif. Melalui amalan perkongsian pintar ini, kementerian menyasarkan untuk memanfaatkan pelbagai kepakaran bagi menangani perubahan iklim dengan berkesan.
7. Kementerian juga amat komited untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai tentang isu perubahan iklim yang melibatkan pelbagai peringkat seperti penglibatan kumpulan rentan dan komuniti tempatan. Melalui bengkel, program komuniti dan inisiatif pendidikan, kementerian menyasarkan untuk menggalakkan amalan mampan dan membina budaya daya tahan dalam rantau ini.
8. Gabungan strategi ini dijangka akan dapat meningkatkan daya tahan kelestarian jangka panjang di Malaysia termasuk di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dalam memastikan khazanah sumber asli terus dilindungi, sumber air yang mampan, melindungi alam sekitar, menyokong aktiviti ekonomi semasa dalam menghadapi cabaran iklim yang semakin ketara. Usaha berterusan dalam menangani risiko perubahan iklim secara proaktif berupaya untuk melindungi pelaburan dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan di rantau ini.
Sekian, terima kasih.