Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

12 November 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

44

Soalan

Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kasim [ Arau ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan tindakan segera dan strategi jangka panjang untuk mengatasi masalah pencemaran sungai yang dilihat tidak pernah selesai terutamanya di kawasan perindustrian seperti yang sering berlaku di negeri Johor.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Isu pencemaran sungai di negara ini perlu ditangani secara bersepadu dengan penglibatan Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan memandangkan sektor yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai ini bukan hanya melibatkan sektor industri tetapi juga melibatkan sektor-sektor lain seperti perbandaran, penternakan, pertanian serta aktiviti komersial yang tidak mempunyai sistem rawatan efluen atau kumbahan yang sempurna. Di samping itu, sisa daripada pasar basah, gerai makanan, dobi, pusat cucian kereta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sisa dari rumah atau setinggan yang dilepaskan tanpa rawatan ke longkang dan dihanyutkan ke sungai juga menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai.


  1. Dalam hal ini, antara tindakan segera dan strategi jangka masa panjang yang dilaksanakan oleh Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengatasi masalah pencemaran sungai adalah:


  1. Tindakan Segera


  1. Pemerkasaan Perundangan Alam Sekitar – Pemantapan penguatkuasaan perundangan JAS dari segi hukuman membabitkan jenayah alam sekitar dengan meningkatkan jumlah denda dan hukuman yang lebih berat. Kerangka dasar dan perundangan akan terus diperkukuhkan bagi memastikan ianya berupaya melindungi alam sekitar dan rakyat;


  1. Operasi Bersepadu - Meningkatkan operasi secara bersepadu dan menyeluruh bersama agensi berkaitan untuk pencegahan dan siasatan kes pencemaran alam sekitar terutama yang melibatkan punca pencemar di dalam bidang kuasa/bidang tugas agensi berkenaan. Selain itu, kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri diperkasakan melalui platform dan fungsi Jawatankuasa Alam Sekitar di Peringkat Kebangsaan seperti Majlis Air Negara, Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS), Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) dan lain-lain. Manakala platform di peringkat Negeri seperti Jawatankuasa Pasukan Petugas Bertindak yang dipengerusikan oleh YB EXCO berkaitan alam sekitar turut diperkasakan bagi menyelesaikan kes pencemaran alam sekitar di peringkat negeri;


  1. Penguatkuasaan Pintar - Memantapkan penguatkuasaan seiring dengan perubahan semasa dan kecanggihan teknologi melalui peralatan, teknologi pintar dan kelengkapan logistik yang terkini seperti dron. Selain itu, penggerak projek yang tertakluk kepada Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) juga dilibatkan bagi menggalas tanggungjawab bersama ke arah usaha melestarikan alam sekitar dengan melaksanakan pematuhan kendiri;


  1. Penguatkuasaan secara bersasar – Meningkatkan penguatkuasaan secara bersasar kepada punca-punca yang terletak di hulu takat pengambilan air dan penghasilan beban pencemaran yang tinggi merujuk kepada laporan kualiti air sungai yang dihasilkan oleh JAS pada setiap bulan;


  1. Perkongsian Data - Perkongsian dan gunasama data alam sekitar yang optimum serta holistik di antara agensi-agensi di bawah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pemegang taruh. Integrasi dan gabungan data daripada pelbagai sumber adalah untuk mengukuhkan pengurusan kualiti air dan membantu dalam merancang program penguatkuasaan serta menyokong pihak pengurusan dalam membuat keputusan. Usaha ini penting bagi memastikan kualiti air sentiasa terpelihara dan pencemaran dapat dicegah dengan lebih berkesan.


  1. Sistem Amaran Awal : Rangkaian pengawasan kualiti alam sekitar automatik bertindak sebagai sistem amaran awal untuk reseptor sensitif.


  1. Strategi Jangka Panjang



  1. Semakan peraturan bagi kawalan pencemaran air – Semakan semula ke atas Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS) (Efluen Perindustrian) 2009, PPKAS (Kumbahan) 2009 dan PPKAS (Kawalan Pencemaran Daripada Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Dan Kambus Tanah) 2009;


  1. Program Pengawasan Kualiti Air Sungai - Memperluaskan rangkaian stesen pengawasan kualiti air sungai automatik dan manual di Malaysia dan memantapkan program pengawasan kebangsaan melalui peralatan, teknologi pintar dan kelengkapan logistik yang terkini seperti dron atau remote sensing;


  1. Memperkasa Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) – Pembangunan Blueprint Pengawasan Alam Sekitar Kebangsaan 2024-2034 dijangka akan dapat memperkasa dan memperkukuh peranan JAS dalam mengawasi dan memantau kualiti alam sekitar secara holistik dan sistematik sehingga tahun 2034; dan


  1. Semakan Standard Air - Isu pencemaran air semakin rumit dengan kehadiran bahan pencemar baharu (emerging pollutants) yang tidak terdapat di dalam standard air atau kualiti air sungai, marin mahupun air tanah pada masa ini. Oleh itu, terdapat JAS akan membuat semakan semula ke atas standard air kebangsaan dengan mengambil kira bahan-bahan ini dalam usaha meningkatkan kualiti air di Malaysia.



Sekian, terima kasih.


Attachments