Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 12 November 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 38 | Soalan | Tuan Fathul Huzir bin Ayob [ Gerik ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan bilakah keputusan berkenaan prosedur Perlombongan NREE akan dimuktamadkan dan apakah manfaat kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang terlibat. | Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah membangunkan dokumen prosedur operasi standard (SOP) perlombongan unsur nadir bumi (REE) sebagai rujukan dan panduan kepada negeri-negeri yang berminat untuk menjalankan aktiviti perlombongan REE. Pembangunan dokumen ini adalah susulan daripada kejayaan pemakaian SOP sebagai panduan kepada Projek Perintis Perlombongan REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, dokumen ini telah dimuktamadkan dan dipersetujui oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Mac 2023. Seterusnya, Kementerian telah mengedarkan dokumen SOP kepada semua Kerajaan Negeri pada 20 Disember 2023.
Pembangunan SOP ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan dalam memastikan industri REE dibangunkan secara lestari dan memberi pulangan hasil yang tinggi kepada negara. Justeru itu, dokumen SOP ini telah merangkumkan peraturan dan perundangan sedia ada bagi memastikan aktiviti perlombongan REE dijalankan dengan cekap dan teratur. Dokumen SOP ini juga telah mengambil kira keseluruhan rantaian nilai mineral di tiga (3) peringkat utama iaitu pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca perlombongan termasuk aspek pemuliharaan kawasan bekas lombong.
Walau bagaimanapun, pemakaian SOP di negeri-negeri masih tertakluk kepada kelulusan dan penyelarasan oleh pihak-pihak berkuasa negeri. Pematuhan kepada SOP ini akan memastikan aktiviti perlombongan dijalankan tanpa memberi impak negatif kepada alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|