Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 12 November 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 34 | Soalan | Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [ Bagan Serai ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan komitmen tuntas Kerajaan mengkaji semula dasar sedia ada untuk mengeluarkan Malaysia daripada menjadi 'tong sampah' dunia apabila negara menjadi tapak pelupusan sisa plastik dan bahan buangan elektronik dari beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Belanda, Jepun dan Australia.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Basel Convention on the Control of Transboundary Movements of Hazardous Wastes and their Disposal (Konvensyen Basel) merupakan perjanjian antarabangsa yang menetapkan obligasi untuk mengawal pergerakan merentasi sempadan dan pelupusan buangan berbahaya/ buangan terjadual. Malaysia telah menjadi negara ahli kepada Konvensyen Basel pada 8 Oktober 1993.
Di bawah Konvensyen Basel, sebarang pergerakan merentas sempadan sisa buangan seperti sisa plastik adalah tertakluk kepada prosedur Prior Informed Consent (PIC) di mana negara pengimport dan transit hendaklah memberikan persetujuan (consent) terlebih dahulu sebelum ia dieksport ke negara pengimport. Persetujuan (consent) ini akan dipertimbangkan setelah negara pengeksport mengemukakan notifikasi dan dokumen-dokumen sokongan yang berkaitan. Manakala bagi sisa elektrik dan elektronik yang dikategorikan sebagai buangan terjadual/ berbahaya tidak dibenarkan untuk diimport ke Malaysia bagi tujuan pemerolehan kembali dan pelupusan.
Kementerian juga maklum dan memandang serius mengenai kegiatan pengimport sisa secara haram ke dalam negara. Pelbagai usaha berterusan sedang dilaksanakan dengan pelbagai kementerian dan agensi untuk membanteras pengimportan sisa haram ke dalam negara. Antara isu utama yang telah dikenal pasti antaranya adalah pengisytiharan palsu (false declaration) pengimportan bahan dagangan.
Kementerian ini dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus berusaha untuk mengemaskini dasar-dasar yang berkaitan, menambahbaik aktiviti penguatkuasaan, mengemaskini dan menambahbaik akta sedia ada serta terus menerus melaksanakan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi memerangi isu pengimportan sisa haram ini.
Kementerian melalui JAS juga akan memastikan semua premis yang memproses sisa elektrik dan sisa plastik mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya. Operasi penguatkuasaan dijalankan secara berkala untuk melihat pematuhan premis terhadap perundangan yang telah ditetapkan dan seterusnya dapat mencegah dan mengawal pencemaran alam sekitar daripada berlaku.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|