Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

12 November 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

16

Soalan

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [ Kuala Terengganu ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah tindakan susulan Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ekoran insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India termasuk status laporan teknikal hasil siasatan berkaitan geologi dan struktur bawah permukaan dengan kerjasama Task Force Struktur Tanah Masjid India.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kementerian ini melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menyediakan  Laporan Teknikal Sektoral berhubung insiden tersebut. Laporan ini memberi fokus kepada penganalisisan data, hasil aktiviti pemetaan subpermukaan melalui survei geofizik menggunakan peralatan Ground Penetrating Radar (GPR) dan mengenal pasti tiada rongga batu kapur di zon-zon yang mengalami deformasi struktur tanah.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengguna pakai hasil laporan ini bagi menjalankan siasatan tapak secara terperinci melalui kaedah lubang gerudi (borehole) dan Ujian Proba Mackintosh (ujian penentuan keupayaan tanah) bagi memperolehi profil subpermukaan terperinci, memastikan integriti struktur tanah dan mempertimbangkan tindakan mitigasi yang sesuai.

Kementerian ini melalui JMG juga sedang menambah baik dan melengkapkan maklumat subpermukaan kawasan Lembah Klang yang meliputi 10 buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Projek Pemetaan Geologi Subpermukaan Greater KL (3DKL). Projek ini berupaya menyediakan data dan maklumat geologi subpermukaan untuk pengurusan risiko bencana geologi termasuk kejadian mendapan tanah dan tanah jerlus. Data ini juga akan digunakan untuk perancangan pelan pembangunan khususnya di kawasan bawah tanah (stratum).

Dalam konteks pengurusan bencana geologi tanah jerlus, Kementerian ini melalui JMG berperanan menyediakan khidmat nasihat teknikal geosains melalui langkah-langkah pencegahan, mitigasi, adaptasi dan pemantauan. Antara langkah pencegahan tersebut adalah:-

  1. pelaksanaan pemetaan bahaya dan risiko di lokasi tanah jerlus yang terancam serta didasari batu kapur;

  2. pemantauan berterusan pergerakan tanah melalui penderiaan jauh (remote sensing);

  3. penyiasatan tapak yang komprehensif; dan

  4. penyediaan sistem  saliran utiliti yang efisien.

Di samping itu, aktiviti pembangunan dan pembinaan yang melibatkan kerja-kerja seperti pengepaman air bawah tanah, penggerudian, penerowongan dan perlombongan juga perlu dikawal bagi mengelakkan gangguan kepada regim air bawah tanah dan gegaran pada tanah.

Sekian, terima kasih.



Attachments