Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

12 November 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

2

Soalan

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [ Mersing ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah langkah pencegahan yang diambil ekoran insiden penutupan tiga buah sekolah di Johor selepas terdedah dengan pencemaran bau kimia pada September lalu serta tindakan pemantauan yang dijalankan bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Berhubung dengan insiden penutupan tiga buah sekolah di Johor akibat pencemaran bau kimia pada September lalu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil beberapa langkah seperti berikut:


  1. Meningkatkan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya untuk mengawal pelepasan bahan pencemar (bahan kimia) daripada aktiviti industri agar tidak memberi kesan buruk terhadap alam sekitar. Dalam hal ini, sebarang pelepasan bahan pencemar udara dan sisa air buangan (efluen) yang dilepaskan ke udara atau ke alur air hendaklah dirawat terlebih dahulu dan dipastikan sentiasa mematuhi had-had pelepasan pencemar yang ditetapkan oleh JAS;


  1. Menjalankan pemeriksaan secara berterusan ke atas premis industri, notifikasi pemasangan alat kawalan pencemaran dan pelaporan alam sekitar secara atas talian (Online Environmental Reporting, OER);


  1. Memastikan pelaksanaan pematuhan kendiri (Self Regulation, SR) kepada pihak industri untuk menjalankan pemantauan prestasi setiap hari terhadap kelengkapan alat kawalan pencemaran yang telah dipasang agar ianya berfungsi dengan baik pada setiap masa;


  1. Melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan berkala ke atas pengurusan pencemaran sisa Buangan Terjadual daripada aktiviti industri yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Hal ini bertujuan bagi mengesan pergerakan sisa Buangan Terjadual daripada kilang pengeluar kepada kemudahan pelupusan yang dilesenkan oleh JAS;


  1. Meningkatkan kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan terutamanya dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantapkan lagi tindakan penguatkuasaan dan pemantauan sungai secara berterusan; dan


  1. Mengenakan tindakan penguatkuasaan ke atas premis pencemar termasuk arahan pembaikan di lapangan (Field Citation), penahanan operasi kelengkapan (POK), kompaun, Notis Arahan pembaikan dan pendakwaan di Mahkamah.


Sekian, terima kasih. 



Attachments