Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedang membangunkan Rang Undang Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang akan menjadi instrumen utama bagi memastikan pelaksanaan perdagangan karbon dapat dilaksanakan secara efektif di Malaysia.
2. Dalam masa yang sama, NRES juga sedang melaksanakan Kajian Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) secara berperingkat. Dasar ini bertujuan untuk menyokong pelaksanaan mekanisme pasaran karbon pematuhan dan sukarela di Malaysia bagi memudah cara pelaksanaan projek karbon oleh pelabur. Elemen-elemen penting DPKK yang perlu dilaksanakan secara efektif akan turut dimuatkan di dalam RUUPIN ini.
3. DPKK ini terbahagi kepada dua (2) fasa dimana fasa pertama yang melibatkan pembangunan aturan kebangsaan bagi pelaksanaan mekanisme pasaran karbon di bawah Perjanjian Paris akan dimuktamadkan pada tahun ini. Bagi fasa kedua atau penghasilan DPKK itu sendiri, ianya dijangka akan dimuktamadkan pada suku ketiga 2025 serta dijangka akan diangkat untuk kelulusan Jemaah Menteri dijangka pada tahun yang sama.
4. Bermula pada bulan Julai 2024, NRES telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri, agensi Kerajaan di peringkat persekutuan, persatuan, pihak swasta dan lain-lain bagi mendapatkan input dan maklum balas awal mengenai pembangunan DPKK. Sesi libat urus ini bukan sahaja dilaksanakan di peringkat pegawai, malah turut dilaksanakan di peringkat pengurusan tertinggi dan Menteri.
5. Untuk RUUPIN, pihak kementerian telah memuat naik kertas rundingan awam atau consultation paper untuk mendapatkan sebarang komen dan pandangan mengenai cadangan RUUPIN ini pada 4 Oktober 2024.
6. Kertas rundingan awam ini mengandungi peruntukan dan penjelasan mengenai perihal yang dicadangkan untuk dimuatkan dalam RUUPIN tersebut. Dengan mengambil kira proses dalaman dan input-input yang telah dikemukakan, penggubalan RUUPIN ini dijangka dapat dimuktamadkan pada suku pertama tahun 2025 dan dijangka dapat dibentangkan pada tahun yang sama.
Sekian, terima kasih.