Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

03 December 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

5

Soalan

Dr. Mohammed Taufiq bin Johari [ Sungai Petani ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh mana usaha dan tindakan Kementerian dalam mengatasi isu pencemaran sungai di seluruh negara. Adakah jumlah sungai tercemar menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian dan JAS sentiasa komited dalam mengawal pencemaran terhadap alam sekitar di negara ini terutamanya bagi punca-punca pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan peraturan-peraturan di bawahnya. Dalam konteks pencemaran sungai, terdapat pelbagai punca-punca pencemaran yang berisiko menyebabkan kemerosotan kualiti air sungai termasuklah aktiviti perbandaran, penternakan, pertanian serta aktiviti komersial yang tidak mempunyai sistem rawatan efluen atau kumbahan yang sempurna.  


  1. Memandangkan punca utama kemerosotan kualiti air sungai disebabkan oleh pelbagai sumber yang tertakluk di bawah pelbagai bidang kuasa, isu ini perlu ditangani secara bersepadu dengan penglibatan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Kebersamaan dan penyelarasan dengan semua pihak yang terlibat dalam menangani isu-isu kemerosotan kualiti air sungai perlu ditingkatkan bagi memastikan kualiti air sungai negara akan terus terjamin demi kesejahteraan rakyat.

 

  1. Bagi menangani isu pencemaran sungai, antara langkah yang telah diambil oleh Kementerian melalui JAS termasuklah: 


  1. Meningkatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap punca-punca pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti kawalan pencemaran air dan kawalan kepada projek-projek pembangunan yang tertakluk kepada kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA);


  1. Mengenal pasti lokasi aduan yang sering dikaitkan dengan  pencemaran air supaya aktiviti penguatkuasaan dapat dijalankan secara lebih berfokus;


  1. Meningkatkan kerjasama dan melaksanakan operasi secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaan yang lain; dan


  1. Menganjurkan program promosi dan kesedaran awam kepada masyarakat dan semua pihak berkepentingan mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar.


  1. Selain itu, sebagaimana yang telah diputuskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) yang dipengerusikan oleh YAB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II Pada Jun dan Ogos 2024, peranan menjaga kualiti air sungai merupakan tanggungjawab bersama semua pihak dan perlu diberi perhatian yang serius oleh semua pihak yang terlibat termasuklah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.


  1. Untuk makluman Yang Berhormat, JAS telah memantau sebanyak 672 sungai melalui program pengawasan kualiti air sungai dengan 1,353 stesen pengawasan kualiti air sungai manual. Hasil pemantauan kualiti air sungai mendapati terdapat peningkatan kualiti air sungai di seluruh Malaysia dalam tempoh lima (5) tahun iaitu daripada 2019 sehingga 2023.


  1. Bilangan sungai dalam kategori “Bersih” meningkat daripada 408 atau 61% sungai pada tahun 2019 kepada 486 atau 72% sungai pada tahun 2023. Manakala bagi sungai yang berada di dalam kategori “Tercemar” pula, terdapat penurunan daripada 59 atau 9% sungai pada tahun 2019 kepada 25 atau 4% sungai pada tahun 2023. Secara keseluruhannya terdapat peningkatan kualiti air sungai di seluruh Malaysia dalam tempoh lima (5) tahun iaitu daripada 2019 sehingga 2023.


Sekian, terima kasih.​

Attachments