Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

06 November 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

28

Soalan

Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [ Kubang Pasu ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :

(a) langkah Kementerian bagi menangani isu setiap penduduk Malaysia menelan swallows purata 502.3 miligram mikroplastik sehari; dan

(b) apakah kemajuan yang telah dicapai dalam pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik 2018-2030 dan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik 2021-2030.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengambil maklum dan memandang serius terhadap semua artikel-artikel dan kajian-kajian yang diterbitkan termasuk dalam Environment Science and Technology. Berdasarkan artikel yang diterbitkan pada 21 Mei 2024 ini, dikatakan Malaysia telah dikategorikan sebagai negara yang rakyatnya  yang paling banyak memakan mikroplastik yang dianggarkan sebanyak 15 gram/sebulan (microplastic consumption).


  1. Berkenaan microplastic consumption, kajian tersebut mengaitkan dengan tabiat pemakanan ikan dan makanan laut (seafood). Dalam hal ini, berkemungkinan perkara ini terjadi akibat daripada pencemaran sisa plastik yang “terlepas” atau “tidak dapat dikutip” atau “terbuang” sama ada secara sengaja atau tidak sengaja ke dalam persekitaran (leakage of plastic waste into the environment) yang akhirnya akan mengalir ke sungai, saliran dan seterusnya ke lautan. Perkara ini juga dikaitkan dengan marine litter atau marine debris.


  1. Sehubungan itu, Kementerian telah mengambil pelbagai langkah dalam menangani isu marine litter dan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dengan berpandukan National Marine Litter Policy and Action Plan 2021-2030, Malaysian Plastic Sustainability Roadmap 2021-2030 (MPSR) dan Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 (Pelan SUP). 


Soalan (b)


Tuan Yang di-Pertua,


  1. Pelaksanaan MPSR dan Pelan Single Use Plastic (SUP) adalah di landasan yang betul. Kementerian masih meneruskan usaha ke arah mencapai matlamatnya pada tahun 2030. Namun, wujud cabaran ekoran pandemik covid dan fragmentasi autoriti dalam pengurusan plastik antara Kementerian dan Kerajaan Negeri dan Tempatan. Banyak usaha telah digerakkan oleh industri seperti menggunakan bahan kitar semula (recycling material) dalam pembuatan plastik (plastic manufacturing), melaksanakan peluasan tanggungjawab pengeluar (extended producer responsibility - ERR). 


  1. Untuk makluman, MPSR menyasarkan pelaksanaan kitaran plastik secara menyeluruh dengan menerapkan konsep ekonomi kitaran (circular economy) dalam rantaian pengurusan plastik. Langkah ini diyakini akan dapat memastikan plastik yang terhasil adalah plastik boleh dikitar semula dan seterusnya dapat mengurangkan janaan sisa plastik berakhir di tapak pelupusan sampah. Kementerian berhasrat supaya pembuatan plastik akan ditambah baik kepada reka bentuk yang lestari (sustainable design). Untuk makluman, Kementerian menjalankan kerjasama dengan SIRIM bagi inisiatif eco-design.


  1. Manakala Pelan SUP adalah menyasarkan sifar sisa plastik sekali guna pada 2030. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya adalah secara berfasa. Bagi memastikan penghapusan plastik sekali guna dilaksanakan dengan teratur, Kementerian sedang mengenal pasti dan menyediakan senarai awal bagi plastik sekali guna yang bermasalah, tidak diperlukan dan boleh dielakkan (problematic, unnecessary and avoidable single use plastic). Melalui senarai ini, penghapusan (phasing out) dan pengurangan (phasing down) plastik sekali guna dilaksanakan secara bersasar.


  1. Antara inisiatif yang diambil oleh Kerajaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri adalah dengan mengenakan caj pencemaran minima sebanyak 20 sen ke atas beg plastik konvensional di premis tetap. Ini adalah selaras dengan pendekatan user pay principle yang mana ia akan berfungsi sebagai deterrent bagi mengurangkan penggunaan dan pencemaran plastik sekali guna. Negeri-negeri yang telah melaksanakan pendekatan user pay principle telah dimulakan di Pulau Pinang dan diikuti dengan Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Kedah dan Perlis.


  1. Kementerian sedang meneliti semua pelaksanaan user pay principle dengan menetapkan hala tuju baru. Kementerian sedang mempertimbangkan tiada lagi pemberian “beg plastik sekali guna” seawal 2026 (atau lebih awal) di seluruh Malaysia. Kementerian telah menerima maklum balas positif daripada sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing yang telah dijalankan di 9 buah negeri. Libat urus seterusnya akan dijalankan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah. Untuk makluman, negeri-negeri yang telah melaksanakan dasar “tiada beg plastik sekali guna” adalah Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan di Kota Kinabalu, Sabah. Wilayah Persekutuan secara dasarnya juga tidak lagi memberikan beg plastik sekali guna (konvensional) dan menggalakkan kepada beg plastik biodegradasi.


  1. Akhir sekali, Kementerian komited dan yakin bahawa kempen dan sesi libat urus berterusan yang melibatkan semua pihak amat penting dalam memastikan kejayaan pelestarian plastik ini. Oleh yang demikian, Kementerian akan terus dan kekal bekerjasama dengan semua pihak terutamanya pihak industri dan pertubuhan bukan kerajaan (non government organisation - NGO) dalam meningkat kesedaran masyarakat. Pada masa yang sama, Kerajaan akan berusaha untuk terus menambahbaik pengurusan plastik secara lestari termasuk menangani pencemaran sisa plastik di ekosistem marin.


Sekian, terima kasih.



Attachments