Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

06 November 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

19

Soalan

Dr. Mohammed Taufiq bin Johari [ Sungai Petani ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah langkah berjaga-jaga yang telah diambil oleh Kementerian untuk menjangkakan potensi kesan fenomena La Nina ke atas Malaysia, khususnya dari segi tebatan banjir, kesiapsiagaan menghadapi bencana dan sokongan kepada masyarakat yang terdedah.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan majoriti model iklim antarabangsa menunjukkan fenomena La Niña lemah dijangka bermula antara bulan Oktober hingga November 2024 dan akan berterusan sehingga Mac 2025.


2. Di Malaysia, fenomena La Niña lemah ini dijangka tidak akan memberikan kesan yang signifikan terhadap taburan hujan di negara kita. Walau bagaimanapun, memandangkan La Niña berlaku serentak dengan Monsun Timur Laut, sedikit peningkatan jumlah hujan mampu menyebabkan bencana banjir terutamanya di negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung dan Sabah. Ini adalah kerana negara kita mengalami cuaca yang lebih lembap dan berawan semasa Monsun Timur Laut. Secara amnya, tiada corak peningkatan jumlah hujan yang konsisten semasa La Niña di Malaysia kerana setiap kejadian La Niña memberikan kesan yang unik dan berlainan. Rekod Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menunjukkan yang La Niña berintensiti lemah hingga sederhana tidak memberi kesan yang ketara dari segi corak taburan hujan negara.


3. Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sepanjang tahun sentiasa memantau situasi status La Niña ini. MET Malaysia mengeluarkan tinjauan cuaca jangka panjang berdasarkan konsensus beberapa model tinjauan iklim antarabangsa bagi mengesan pembentukan La Niña dan mengemaskini maklumat setiap bulan yang dipaparkan di laman sesawang rasmi MET Malaysia.


4. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, MET Malaysia melalui Pusat Operasi Cuaca & Geofizik Nasional (POCGN)  bersama pejabat-pejabat ramalan negeri dan stesen-stesen pencerapan meteorologi di seluruh negara beroperasi 24 jam dalam melakukan pencerapan dan pemantauan cuaca secara berterusan. 

5. Disamping itu, MET Malaysia sentiasa melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap sistem ramalan cuaca negara bagi menghasilkan ramalan yang lebih tepat dan seterusnya dapat membantu pihak agensi pengurusan bencana untuk bertindak lebih awal dalam memastikan keselamatan rakyat terjamin. MET Malaysia juga sentiasa terus membekalkan maklumat-maklumat berkaitan kepada pihak pemegang taruh dalam usaha kesiapsiagaan menghadapi pelbagai kemungkinan bencana alam yang akan berlaku.


6. Seiring dengan perkembangan teknologi semasa bagi meningkatkan sistem penyampaian, MET Malaysia telah membangunkan aplikasi mobil myCuaca yang dapat memberikan maklumat cuaca dan gempa bumi untuk diakses pada bila-bila masa oleh orang ramai. MET Malaysia juga turut membangunkan aplikasi mobil RakanMET iaitu medium perkongsian maklumat cuaca setempat di kalangan orang awam. Selain itu, Jabatan juga menyampaikan ramalan dan amaran cuaca menggunakan pelbagai medium seperti media sosial (Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube), laman sesawang Jabatan dan media massa (televisyen dan radio).


Sekian, terima kasih.



Attachments