Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

29 October 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Biodiversiti, PERHILITAN

Nombor Soalan

39

Soalan

Dato' Seri Haji Aminuddin bin Harun [ Port Dickson ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan perancangan Kementerian untuk memastikan kelestarian biodiversiti di kawasan-kawasan ekosistem yang terancam seperti Taman Negara dan Hutan Hujan Tropika.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Usaha-usaha untuk memastikan kelestarian biodiversiti memerlukan kerjasama padu Kerajaan Negeri kerana Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan pembahagian bidang kuasa yang jelas di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Hal ehwal berkaitan tanah dan hutan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, manakala perlindungan hidupan liar adalah di bawah Senarai Bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. 


2. Dalam hubungan ini, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah melaksanakan usaha-usaha seperti berikut bagi melindungi, memelihara dan memulihara biodiversiti di kawasan-kawasan ekosistem yang terancam seperti Taman Negara dan Hutan Hujan Tropika:


(i) memperkasa kerangka perundangan perhutanan dan hidupan liar melalui pindaan Akta Perlindungan hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313];


(ii) melaksanakan moratorium bagi menghentikan peluasan ladang hutan dalam hutan simpanan kekal (HSK) dan mempergiatkan usaha ke arah mewartakan HSK, kawasan perlindungan serta pewartaan kawasan cadangan HSK khususnya yang terletak dalam kawasan Central Forest Spine (CFS) sepertimana yang telah dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-81 pada 19 September 2024;


(iii) mengukuhkan kerangka polisi melalui Dasar Perhutanan Malaysia dan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030;


(iv) menyediakan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) kepada kerajaan negeri bagi mengukuhkan pengurusan dan meningkatkan keluasan kawasan perlindungan;


(v) mengukuhkan penguatkuasaan melalui Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme - BP3) bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar;


(vi) menyediakan inisiatif one-off bagi Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) pada tahun 2024. Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban penduduk kampung dan komuniti setempat yang mengalami kerugian atau kerosakan harta benda akibat konflik manusia dan hidupan liar; dan


(vii) membangunkan Kerangka Kewangan REDD Plus (RFF) melalui agensi Malaysia Forest Fund (MFF) bagi meningkatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan pihak swasta bagi penyaluran dana untuk aktiviti konservasi dan pengurusan hutan serta mitigasi perubahan iklim. 


3. NRES akan terus komited untuk meningkatkan pengurusan biodiversiti dan memohon Kerajaan Negeri untuk mengukuhkan usaha dalam memastikan kelestarian biodiversiti negara.



Sekian, terima kasih. 



Attachments