Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, peruntukan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) bukan bersifat ganti rugi atau pampasan bagi menampung kos lepas tetapi adalah insentif tambahan kepada Kerajaan Negeri untuk melindungi dan memulihara kawasan perlindungan yang merupakan kawasan penting bagi perkhidmatan ekosistem (ecosystem services) termasuk sebagai kawasan tadahan air dan perlindungan hidupan liar.
2. Sebanyak RM317 juta peruntukan EFT telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri iaitu pada tahun 2023 dan 2024 masing-masing sebanyak RM127 juta dan RM190 juta. Pengagihan peruntukan EFT kepada Kerajaan Negeri adalah berdasarkan kepada 3 kriteria yang ditetapkan di dalam Garis Panduan Pelaksanaan EFT seperti berikut:
(i) nilai ambang (threshold value) iaitu sebanyak RM200,000.00 disalurkan kepada negeri yang mengemukakan maklumat terkini pewartaan kawasan perlindungan di negeri;
(ii) keluasan kawasan perlindungan daratan, air daratan dan marin iaitu 70 peratus daripada keseluruhan peruntukan disalurkan kepada negeri berdasarkan kepada pengiraan peratusan keluasan kawasan perlindungan negeri sedia ada; dan
(iii) kriteria ekologi berasaskan keberhasilan (performance-based ecological criteria) iaitu baki 30 peratus daripada keseluruhan peruntukan ditentukan berdasarkan kepada prestasi pelaksanaan EFT oleh kerajaan negeri.
Sekian, terima kasih.