Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

29 October 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

16

Soalan

Puan Yeo Bee Yin [ Puchong ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan:

(a) adakah Kementerian akan mengambil kira tanah lembap sebagai sinki karbon dalam inventori gas kaca hijau (GHG) dalam laporan kemaskini dua tahun (BUR) UNFCCC ; dan

(b) apakah usaha Kementerian dalam meningkatkan jumlah projek yang menghasilkan nature-based carbon credits di Bursa Carbon Exchange.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Bermula tahun 2024, pelaporan Biennial Update Report (BUR) digantikan dengan Biennial Transparency Report (BTR). Penukaran dari BUR kepada BTR  telah ditetapkan melalui Keputusan 18/CMA.1 semasa Conference of the Parties ke-24 (COP24) di Katowice, Poland pada tahun 2018. Keputusan ini merupakan sebahagian dari pelaksanaan Enhanced Transparency Framework (ETF) di bawah Perjanjian Paris, yang bertujuan untuk mempertingkat ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pelaporan tindakan iklim negara-negara pihak. BTR menggantikan BUR dengan format laporan yang lebih komprehensif, merangkumi inventori gas rumah kaca, penjejakan Nationally Determined Contribution (NDC), serta sokongan kewangan, pemindahan teknologi dan pembinaan kapasiti yang telah diterima dan diperlukan.


  1. Malaysia sentiasa memastikan semua pelepasan dan penyerapan gas rumah kaca (GHG) daripada semua Guna Tanah, Perubahan Guna Tanah dan Perhutanan bagi kawasan tanah lembap termasuk tanah gambut dan paya bakau dilaporkan dalam inventori GHG. Malaysia menggunakan 2006 IPCC Guidelines for National Greenhouse Gas Inventories (IPCC 2006 guidelines) bagi mengira pelepasan dan penyerapan gas rumah kaca termasuk gas karbon dioksida (CO2), metana (CH4), dan nitrus oksida (N2O) seperti yang ditetapkan oleh UNFCCC.


  1. Selain dari itu, Malaysia juga melaporkan aktiviti pembasahan (re-wetting) yang berlaku di kawasan hutan paya gambut dalam pelaporan BTR1 sebagai salah satu langkah penambahbaikan berbanding pelaporan terdahulu.


  1. Seterusnya berhubung usaha Kementerian dalam meningkatkan jumlah projek yang menghasilkan nature-based carbon credits di Bursa Carbon Exchange. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kuamut Rainforest Conservation Project di Sabah adalah projek penjanaan kredit karbon hutan pertama dari Malaysia yang telah disenaraikan dan didagangkan di Bursa Carbon Exchange.

  2. Pada masa yang sama, projek Marudi Forest Carbon Project, yang sedang dibangunkan pada masa ini adalah projek karbon hutan pertama yang telah dilesenkan di bawah Ordinan Perhutanan (Aktiviti Karbon Hutan) oleh Kerajaan Negeri Sarawak.


  1. Pembangunan sesuatu projek karbon dari penyelesaian berasaskan alam semulajadi atau lebih dikenali sebagai Nature Based Solution bukan suatu inisiatif yang mudah mahupun murah. Penggunaan piawaian antarabangsa seperti Verified Carbon Standard (Verra) dan Gold Standard memakan kos yang amat signifikan (menelan belanja dari ratusan ribu ringgit hingga jutaan ringgit - bergantung kepada skala, saiz dan jenis projek) dan masa yang lama (dari tiga hingga tujuh tahun, bergantung kepada kompleksiti isu di lapangan dan pematuhan pra-syarat ketat piawaian).


  1. Justeru itu, pembinaan keupayaan dan tenaga pakar di peringkat domestik yang berupaya untuk membangunkan, melaksanakan aktiviti berdasarkan kepada kerangka projek serta memantau, melapor dan menjalankan proses verifikasi adalah amat kritikal. Pada masa ini, kebanyakan projek yang dibangunkan adalah menggunakan tenaga juru perunding antarabangsa yang mempunyai pengalaman membangunkan dan mengoperasikan projek karbon di negara-negara lain.


  1. Pemindahan kepakaran kepada pemain industri domestik adalah amat kritikal, selain dari memastikan bahawa pemilik kawasan berhutan (terutamanya pihak kerajaan negeri, jabatan perhutanan dan syarikat konsesi dan komuniti sekitar kawasan projek) faham dan maklum mengenai implikasi serta manfaat sesuatu projek karbon hutan.


  1. Mengambil kira semua ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah menubuhkan Malaysia Forest Fund, sebagai agensi teknikal yang bertanggungjawab untuk menerajui usaha membangunkan dan mengoperasikan instrumen kewangan inovatif sektor hutan, termasuklah meneroka potensi kawasan dan pelaksanaan projek karbon hutan di Malaysia.



  1. Di bawah Belanjawan 2024 sebelum ini, Kementerian telah diberikan peruntukan Dana khas yang dikenali sebagai Dana Projek Karbon Hutan untuk menjalankan aktiviti pembangunan kapasiti, pelaksanaan aktiviti penilaian kebolehlaksanaan awal (pre-feasibility study) dan pembangunan piawaian sistem pengkreditan karbon (sektor perhutanan) yang dikenali sebagai Forest Carbon Offset (FCO).


  1. Segala usaha ini bukan sahaja untuk menangani isu-isu yang melibatkan pembangunan sesuatu projek karbon hutan, tetapi juga untuk memastikan bahawa Malaysia mempunyai suatu piawaian domestik yang boleh digunakan untuk menjana kredit karbon setara dengan piawaian antarabangsa sedia ada, tetapi memakan kos yang jauh lebih murah, mudah dan mengambil kira spesifikasi kebangsaan.


  1. Kita berharap bahawa usaha dan inisiatif ini turut disambung di Belanjawan 2025, memandangkan ianya mempunyai implikasi yang amat signifikan kepada pengumuman Kerajaan untuk memperkenalkan Cukai Karbon pada 2026 kelak. Bagi menggalakkan pembangunan dan penyertaan lebih banyak pembangunan projek karbon di dalam ekosistem pengoperasian cukai karbon tersebut kelak, Kementerian saya ingin memastikan bahawa mekanisma fleksibiliti (flexible mechanism) yang membenarkan offset atau penggunaan kredit karbon dari sektor perhutanan; digunakan oleh syarikat yang ingin menyelesaikan komitmen pengurangan emisi syarikat mereka melalui kaedah offset selain dari dikenakan cukai. Mekanisme ini bukan sahaja menggalakkan pembangunan projek karbon untuk memenuhi permintaan offset, malah memastikan kredit yang dijanakan boleh didagangkan di platform BCX dan platform pasaran karbon serantau dan antarabangsa.


  1. Namun begitu, pengwujudan insentif dan dana kewangan bagi membangunkan sesuatu projek karbon hutan adalah amat kritikal. Pada masa ini, tidak wujud sebarang instrumen kewangan atau financial tools (sama ada dalam bentuk pinjaman, geran atau dana) yang menyokong dan menampung kos kerja-kerja awalan (kajian kebolehlaksanaan, penyediaan Project Design Document dan kos fi piawaian) sesuatu projek karbon.


  1. Tanpa insentif dan dana tersebut, kita akan bergantung sepenuhnya kepada penyertaan pemain dan syarikat dari luar negara yang mempunyai keupayaan sumber dan kewangan, dan seterusnya mengambil manfaat dari penjualan kredit karbon yang dihasilkan di Malaysia. Kita berharap agar lebih banyak syarikat dan pemain dari Malaysia berminat untuk mewujudkan sinergi dengan pihak Kementerian (atau melalui agensi Malaysia Forest Fund) untuk mengatasi kebergantungan kewangan kepada Kerajaan bagi maksud tersebut.


  1. Selain daripada itu, Kerajaan juga akan meneroka dan merundingkan potensi pembangunan kerangka ASEAN Common Carbon Framework (ACCF) semasa Kepengerusian ASEAN pada tahun depan. ACCF adalah inisiatif yang diterajui oleh pihak swasta di bawah ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC) bagi menggembleng usaha di peringkat serantau untuk mewujudkan ekosistem pasaran karbon yang lebih rancak serta memanfaatkan kepakaran, sumber semulajadi dan usaha di kalangan ahli negara ASEAN bagi membangunkan lebih banyak projek karbon yang boleh didagangkan bukan sahaja di BCX, malah di platform pasaran di pelbagai negara ASEAN.


  1. Usaha serantau ini juga dihasratkan untuk membantu Malaysia di dalam membangunkan instrumen FCO melalui perkongsian teknikal dan pengiktirafan bersama piawaian domestik yang sedia ada seperti Thailand Verified Emission Reduction (TVER) dan Sistem Registri Nasional (SRN) di Indonesia; selain memastikan perspektif negara pembeli seperti Singapura diintegrasikan sebagai komponen yang kritikal ke arah pengwujudan piawaian domestik yang berintegriti tinggi serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.

  

Sekian, terima kasih.



Attachments