Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

17 October 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

43

Soalan

Tuan Roy Angau anak Gingkoi [ Lubok Antu ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan komitmen Kementerian dalam menambah baik landskap perundangan sedia ada untuk menyokong perniagaan tenaga terutama dalam sektor perdagangan karbon di Malaysia.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Pihak kementerian sedang membangunkan Rang Undang Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang akan menjadi instrumen utama bagi memastikan pelaksanaan perdagangan karbon dapat dilaksanakan secara efektif di Malaysia. 


2. Dalam masa yang sama, NRES juga sedang melaksanakan Kajian Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) secara berperingkat. Dasar ini bertujuan untuk menyokong pelaksanaan mekanisme pasaran karbon pematuhan dan sukarela di Malaysia bagi memudah cara pelaksanaan projek karbon oleh pelabur. Dijangka projek karbon berasaskan teknologi (technology based) dari sektor tenaga dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi (nature based) dapat menerima manfaat daripada pelaksanaan RUUPIN dan DPKK ini.


3. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, adalah penting agar elemen-elemen di bawah RUUPIN dan DPKK ini dilihat secara bersepadu bagi memastikan tadbir urus perubahan iklim dan perdagangan karbon di negara ini adalah tuntas dan melengkapi dasar Kerajaan lain yang sedia ada. Ini kerana, perancangan ini bukan sahaja dibuat bagi memenuhi komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris malahan ianya juga dapat menyumbang kepada kesejahteraan dan peningkatan tahap sosio-ekonomi negara. 


4. Pembangunan RUUPIN dan DPKK ini mengamalkan pendekatan whole of nation. Oleh yang demikian, bermula pada bulan Julai 2024, NRES telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri, agensi Kerajaan di peringkat persekutuan, persatuan, pihak swasta dan lain-lain bagi mendapatkan input dan maklum balas awal mengenai pembangunan RUUPIN dan DPKK. Sesi libat urus ini bukan sahaja dilaksanakan di peringkat pegawai, malah turut dilaksanakan di peringkat pengurusan tertinggi dan Menteri.


5. Pihak kementerian juga telah memuat naik kertas rundingan awam atau consultation paper untuk mendapatkan sebarang komen dan pandangan mengenai cadangan RUUPIN ini pada 4 Oktober 2024. Kertas rundingan awam ini mengandungi peruntukan dan penjelasan mengenai perihal yang dicadangkan untuk dimuatkan dalam RUUPIN tersebut.  


6. Di peringkat ASEAN pula, cadangan pembangunan suatu kerangka pasaran karbon yang dikenali sebagai ASEAN Common Carbon Framework (ACCF) merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan di bawah ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC) untuk melaksanakan strategi yang telah digariskan di bawah ASEAN Strategy for Carbon Neutrality.


7. ACCF bermatlamat untuk mengemblengkan segala usaha semasa dan perancangan di negara-negara ASEAN melibatkan aktiviti dan ekosistem pasaran karbon. Antara lain, ACCF akan mewujudkan pengiktirafan bersama (mutual recognition) bagi pembangunan piawaian dan metodologi projek karbon seperti Thailand Verified Emission Reduction (TVER), Sistem Registri Nasional (SRN) Indonesia dan Forest Carbon Offset (FCO) yang sedang dibangunkan oleh Kementerian ini melalui agensi Malaysia Forest Fund. Selain itu, ACCF juga akan membolehkan perkongsian teknikal dan kepakaran (terutamanya badan verifikasi dan validasi), pembangunan kapasiti, usaha sama di peringkat perniagaan serta jaringan pelaksanaan skim pasaran karbon pematuhan domestik (Emission Trading Scheme) di kalangan negara-negara ASEAN kelak.


8. Cadangan konsep dan mekanisme pelaksanaan ACCF ini akan dirundingkan secara lebih komprehensif di peringkat ASEAN bermula tahun depan (di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia), untuk memastikan ianya menjadi inisiatif yang dapat menyumbang kepada ekosistem pasaran karbon serantau dan membuka peluang yang lebih besar bagi pembangunan projek serta penjanaan kredit karbon dari negara ASEAN. 


Sekian, terima kasih.
Attachments