Tuan Yang di-Pertua,
1. Bagi memastikan Malaysia mencapai aspirasi pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, pihak kementerian sedang dalam proses memuktamadkan dokumen pelan tindakan Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon atau Long-Term Low Emissions Development Strategy (LT-LEDS) yang dibangunkan dengan mengambil kira inisiatif perubahan iklim secara holistik, terangkum dan berkesan. Buat masa ini, dokumen LT-LEDS sedang dalam proses untuk dimuktamadkan sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan.
2. Secara umumnya, LT-LEDS mencadangkan tindakan dan strategi utama yang perlu dilaksanakan negara untuk mencapai aspirasi pelepasan GHG sifar bersih menjelang 2050. Antara strategi yang diberi penekanan di dalam dokumen tersebut adalah inisiatif peningkatan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, penggunaan bahan api alternatif, inisiatif mobiliti elektrik, inisiatif pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) bagi sektor yang sukar mengurangkan pelepasan GHG seperti besi dan keluli dan simen, pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan. Dalam masa yang sama, pelaksanaan semua strategi dan inisiatif tersebut juga akan disokong dengan pembolehlaksana (enablers) seperti mekanisme pasaran karbon, mekanisme penetapan harga karbon, pembiayaan hijau, dan rangka kerja pengukuran, pelaporan, dan penentusahan (MRV).
3. Selain itu, Kerajaan pada 25 September 2024 telah bersetuju dengan Dasar Perubahan Iklim 2.0 yang memfokuskan kepada inisiatif-inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi negara beralih kepada ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan iklim. Dasar ini juga dibangunkan dengan mengambil kira sasaran LT-LEDS negara.
4. Dalam masa yang sama, bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai, pihak kementerian juga sedang dalam proses menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). RUU ini dijangka akan membolehkan negara mengoperasikan tindakan iklim yang digariskan di dalam Perjanjian Paris untuk dilaksanakan di peringkat domestik dan ianya akan memacu pelaksanaan LT-LEDS, DPIN2.0 dan lain-lain dasar-dasar lain berkaitan perubahan iklim yang akan saling melengkapi. Rang Undang Undang ini dijangka akan dibentangkan pada seawal tahun 2025.
5. Berkenaan dengan dasar karbon wilayah Sarawak, Kementerian komited untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri terpelihara. Dalam hal ini, Kementerian sentiasa mengamalkan pendekatan seluruh negara atau whole of nation approach dalam pembangunan dasar serta perundangan berkaitan perubahan iklim. Sebagai contoh, saya sendiri telah mengadakan kunjungan hormat kepada. YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak pada 20 Ogos 2024 bagi membincangkan hal-hal berkaitan pembangunan RUUPIN dan lain-lain dasar berkaitan perubahan iklim.
6. Dalam hal ini, pihak Kementerian telah memaklumkan komitmennya untuk menghormati hak Kerajaan Negeri bagi perkara berkaitan sumber asli dan hasil negeri selaras dengan perlembagaan persekutuan. Selain itu, pihak Kementerian juga telah menyatakan hasrat agar Kerajaan Negeri dapat bersama mengambil bahagian dalam perbincangan dan pembangunan dasar-dasar perubahan iklim yang berkaitan bagi memastikan kepentingan Kerajaan Negeri sentiasa terpelihara.
7. Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 14 Jun 2024 juga telah bersetuju dengan Penubuhan Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan yang akan melibatkan kerajaan-kerajaan negeri serta pihak berkepentingan berkaitan bagi memastikan peralihan kepada pembangunan rendah karbon dilaksanakan secara teratur dan seimbang.
Sekian, terima kasih.