Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

17 October 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

30

Soalan

Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya [ Putatan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah Kementerian dalam mengawal dan menjaga kebersihan sungai daripada pencemaran terutamanya pembuangan sisa domestik dan industri. Sejauh manakah kempen zero plastics ini dikuatkuasakan oleh pihak Kementerian di setiap negeri.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Soalan (a)


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertindak mengikut punca kuasa yang terkandung di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan peraturan-peraturan di bawahnya. Dalam hal ini, sisa pepejal domestik dan industri tidak tertakluk kepada Akta 127.


  1. Namun demikian, langkah-langkah yang diambil untuk memelihara dan memulihara alam sekitar serta mengawal pencemaran sungai adalah seperti berikut:


  1. Meningkatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap punca-punca pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti kawalan pencemaran air dan kawalan kepada projek-projek pembangunan yang tertakluk kepada kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA);


  1. Mengenalpasti lokasi aduan yang sering dikaitkan dengan  pencemaran air supaya penguatkuasaan adalah lebih berfokus;


  1. Melaksanakan operasi secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaan yang lain berdasarkan bidang kuasa agensi masing-masing;


  1. Menjalankan program pemantauan dan pengawasan bagi memastikan tahap kualiti air sungai; dan


  1. Menganjurkan program promosi dan kesedaran awam kepada semua pemegang taruh akan kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar.


  1. Isu pencemaran sungai di negara ini perlu ditangani secara bersepadu dengan penglibatan Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan memandangkan sektor yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai ini bukan hanya melibatkan sektor industri tetapi juga melibatkan sektor lain seperti perbandaran, penternakan, pertanian serta aktiviti komersial yang tidak mempunyai sistem rawatan efluen atau kumbahan yang sempurna. Di samping itu, sisa daripada pasar basah, gerai makanan, dobi, pusat cucian kereta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sisa dari rumah atau setinggan yang dilepaskan tanpa rawatan ke longkang dan dihanyutkan ke sungai juga menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai.


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) juga telah ditubuhkan yang dipengerusikan oleh YAB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof Timbalan Perdana Menteri II bagi menangani isu kemerosotan kualiti air sungai kebangsaan secara bersepadu dengan penglibatan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. JKKAS telah bersidang sebanyak dua (2) kali bagi tahun 2024.


Soalan (b) 


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tetap komited dalam menangani pencemaran sisa plastik khususnya plastik sekali guna menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Malaysia Plastics Sustainability Roadmap 2021-2030 (MPSR).


  1. Untuk makluman, Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 telah diperkenalkan pada 17 Oktober 2018. Pelan Hala Tuju ini merupakan rancangan jangka panjang Kerajaan dalam menangani masalah pencemaran plastik di Malaysia secara holistik. Kerajaan telah mengambil pendekatan secara berfasa dalam memperkenalkan setiap tindakan di bawah Pelan Hala Tuju ini supaya lebih berkesan dan bersasar serta membolehkan semua pihak memahami rasional bagi setiap pelan tindakan tersebut. Ini sekali gus akan mendorong pengguna untuk bertindak dan memilih alternatif yang positif serta mesra alam. 

  2. Antara inisiatif yang diambil oleh Kerajaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri adalah dengan mengenakan caj pencemaran minima sebanyak 20 sen ke atas beg plastik konvensional di premis tetap. Ini adalah selaras dengan pendekatan user pay principle yang mana ia akan berfungsi sebagai deterrent bagi mengurangkan penggunaan dan pencemaran plastik sekali guna. Negeri-negeri yang telah melaksanakan pendekatan user pay principle telah dimulakan di Pulau Pinang dan diikuti dengan Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Kedah dan Perlis.


  1. Kementerian sedang meneliti semua pelaksanaan user pay principle dengan menetapkan hala tuju baru. Kementerian sedang mempertimbangkan tiada lagi pemberian “beg plastik sekali guna” seawal 2026 (atau lebih awal) di seluruh Malaysia. Kementerian telah menerima maklum balas positif daripada sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing yang telah dijalankan di 9 buah negeri. Libat urus seterusnya akan dijalankan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah. Untuk makluman, negeri-negeri yang telah melaksanakan dasar “tiada beg plastik sekali guna” adalah Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan di Kota Kinabalu, Sabah. Wilayah Persekutuan secara dasarnya juga tidak lagi memberikan beg plastik sekali guna (konvensional) dan menggalakkan kepada beg plastik biodegradasi.


  1. Selain itu, satu lagi langkah dalam menambah baik pengurusan plastik adalah dengan menerapkan konsep ekonomi kitaran (circular economy) dalam rantaian pengurusan plastik. Langkah ini diyakini akan dapat memastikan plastik yang terhasil adalah plastik boleh dikitar semula dan seterusnya dapat mengurangkan janaan sisa plastik berakhir di tapak pelupusan sampah. Kementerian berhasrat supaya pembuatan plastik akan ditambah baik secara lestari di peringkat reka bentuk (design) kepada reka bentuk yang lestari (sustainable design). Untuk makluman, Kementerian sedang dan akan memuktamadkan garis panduan eco-design dengan kerjasama SIRIM.


Sekian, terima kasih.