Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 17 October 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 26 | Soalan | Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien [ Julau ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan tindakan Kementerian bagi menangani isu pencemaran sungai dengan peningkatan ladang kelapa sawit yang menjejaskan sumber air bagi penduduk terutamanya di kawasan Lasi di Meluan dan Ulu Wak, Tugong dan Sungai Kedang di Pakan yang masih belum mempunyai bekalan air bersih terawat.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) amat prihatin dengan keperluan sumber air bersih oleh penduduk terutamanya di kawasan Lasi di Meluan dan Ulu Wak, Tugong dan Sungai Kedang di Pakan.
Pencemaran air sungai yang berpunca daripada kilang pemprosesan kelapa sawit adalah tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan Peraturan-Peraturan di bawahnya. Berdasarkan kepada semakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), didapati bahawa tiada sebarang premis industri mahupun kilang kelapa sawit di kawasan yang dinyatakan.
Sebagai makluman kepada semua Ahli Yang Berhormat, di bawah Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar Kebangsaan, sebanyak 1,353 stesen pengawasan kualiti air sungai manual yang merangkumi 672 sungai telah dipantau di seluruh negara. Di Negeri Sarawak, sebanyak 62 sungai yang dipantau di bawah Program ini termasuk Sungai Jalau dan Sungai Pakan di dalam Lembangan Sungai Rajang. Status kualiti air sungai bagi Sungai Jalau dan Sungai Pakan adalah konsisten berada di dalam kategori Bersih dalam tempoh lima (5) tahun iaitu dari tahun 2019 sehingga tahun 2023.
Bagi memastikan kualiti air sungai terus terpelihara, JAS telah mengambil tindakan seperti berikut:
Meningkatkan aktiviti penguatkuasaan Akta 127 dan peraturan-peraturan di bawahnya untuk mengawal punca pencemaran;
Menjalankan pengawasan di dua buah lokasi stesen pemantauan kualiti air di Sungai Julau dan Sungai Pakan secara berkala;
Meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasa di bawah Kerajaan Negeri seperti Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasa yang lain bagi memastikan tindakan pemantauan serta penguatkuasaan di sungai secara berterusan dilaksanakan;
Memperbanyakkan penganjuran dan meningkatkan keberkesanan program promosi dan kesedaran awam kepada semua pemegang taruh akan kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar; dan
Mengenakan tindakan tegas dengan pengeluaran notis arahan, kompaun, penahanan operasi kelengkapan, gantung/tarik balik lesen, perintah larangan dan tindakan mahkamah ke atas premis-premis yang didapati gagal mematuhi Akta 127 ini.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|