Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 17 October 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 5 | Soalan | Puan Wong Shu Qi [ Kluang ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sama ada Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 telah mencapai sasaran atau tidak.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam masih meneruskan usaha ke arah mencapai matlamat Kerangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 (Malaysia Plastics Sustainability Roadmap - MPSR). Walau bagaimanapun, harus diakui bahawa pelaksanaan MPSR sudah sedikit tergendala ekoran pandemik COVID-19 yang menyaksikan peningkatan penggunaan plastik.
Sebagai contoh, penggunaan plastik dalam kalangan pengguna meningkat susulan COVID-19 kerana orang ramai lebih cenderung membeli makanan serta membeli-belah menerusi platform atas talian yang menyaksikan penggunaan bungkusan plastik yang berlebihan.
Selain itu, penghapusan plastik sekali guna pula menghadapi kekangan kerana bidang kuasa yang berasingan di antara pihak kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Berhubung caj pencemaran penggunaan beg plastik sekali guna, hanya beberapa buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Kedah, Johor dan Perlis yang mengenakan caj. Ini menunjukkan masih banyak negeri dan sektor yang tidak melaksanakan agenda bebas plastik. Kementerian seterusnya menghargai komitmen Kerajaan Negeri Sembilan yang menghapuskan terus penggunaan beg plastik sekali guna di premis tetap dan juga usaha “tiada beg plastik” ini turut dibuat di Pulau Pinang pada Isnin hingga Rabu manakala hari lain dikenakan caj berjumlah RM1. Dewan Bandaraya Kota Kinabalu juga melaksanakan hari tanpa beg plastik pada hari-hari tertentu.
Wilayah Persekutuan secara dasarnya juga menghapuskan beg plastik sekali guna konvensional dan menggalakkan penggunaan beg plastik biodegradasi.
Banyak usaha telah digerakkan oleh industri seperti menggunakan bahan kitar semula (recycling material) dalam pembuatan plastik (plastic manufacturing), melaksanakan perluasan tanggungjawab pengeluar (extended producer responsibility - ERR). Untuk makluman, MPSR menyasarkan pelaksanaan kitaran plastik secara menyeluruh dengan menerapkan konsep ekonomi kitaran (circular economy) dalam rantaian pengurusan plastik.
Langkah ini diyakini akan dapat memastikan plastik yang terhasil adalah plastik boleh dikitar semula dan seterusnya dapat mengurangkan janaan sisa plastik berakhir di tapak pelupusan sampah. Kementerian berhasrat supaya pembuatan plastik akan ditambah baik kepada reka bentuk yang lestari (sustainable design). Untuk makluman, Kementerian menjalankan kerjasama dengan SIRIM bagi inisiatif eco-design.
Kementerian juga sedang menjalankan kajian material flow analysis (MFA) bagi plastik. Jumlah pembuatan plastik, sisa plastik yang terhasil dan jumlah plastik yang dikitar semula akan dikenalpasti. Kajian ini seterusnya menyokong hala tuju pelestarian plastik secara evidence based dan data-driven.
Selain itu, MPSR juga menambah baik sasaran Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030. Bagi memastikan penghapusan plastik sekali guna dilaksanakan dengan teratur, Kementerian sedang mengenal pasti dan menyediakan senarai awal bagi plastik sekali guna yang bermasalah, tidak diperlukan dan boleh dielakkan (problematic, unnecessary and avoidable single use plastic). Melalui senarai ini, penghapusan (phasing out) dan pengurangan (phasing down) plastik sekali guna dilaksanakan secara bersasar.
Kementerian sedar bahawa usaha menangani pencemaran plastik melalui 2 pelan hala tuju dan dasar semasa masih belum memadai. Oleh itu, Kementerian kini sedang melihat keperluan untuk mewujudkan satu perundangan khusus berkaitan plastik di Malaysia. Langkah ini diharap akan dapat mempercepatkan peralihan pengurusan plastik daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran. Kementerian percaya ini akan dapat mengurangkan pencemaran sisa plastik.
Akhir sekali, Kementerian komited dan yakin bahawa sokongan berterusan yang melibatkan semua pihak amat penting dalam memastikan kejayaan pelestarian plastik ini. Oleh yang demikian, Kementerian akan terus dan kekal bekerjasama dengan semua pihak terutamanya pihak industri dan pertubuhan bukan kerajaan (non government organisation - NGO) dalam meningkat kesedaran masyarakat. Pada masa yang sama, Kerajaan akan berusaha untuk terus menambahbaik pengurusan plastik secara lestari.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|