Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sepanjang tahun sentiasa memantau situasi cuaca negara berdasarkan pencerapan oleh stesen-stesen radar dan meteorologi di seluruh Malaysia. MET Malaysia akan mengeluarkan maklumat dan amaran sekiranya cuaca buruk yang mampu menyebabkan bencana dijangka berlaku berdasarkan model-model cuaca MET Malaysia dan antarabangsa. Pengeluaran maklumat dan amaran cuaca sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa.
2. Dalam langkah-langkah awal persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) pada tahun ini, MET Malaysia telah mengadakan Forum Iklim Kebangsaan pada 3 Oktober 2024 dengan menjemput beberapa agensi-agensi pengurusan bencana membincangkan persediaan mereka. menghadapi fenomena ini. Di samping itu juga, MET Malaysia turut menyampaikan maklumat dan ramalan cuaca semasa mesyuarat persediaan bencana yang dipengerusikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di peringkat pusat, negeri dan daerah. Sesi penerangan juga diadakan bersama pemegang taruh yang lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), PETRONAS, PRASARANA, syarikat air negeri, syarikat pengangkutan, wakil rakyat dan penduduk setempat. Usaha-usaha ini membolehkan persediaan sebelum bencana banjir monsun berlaku agar kehilangan nyawa dan kerugian ekonomi dapat diminimakan.
3. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, seiring dengan perkembangan teknologi semasa bagi meningkatkan sistem penyampaian, MET Malaysia juga telah membangunkan aplikasi mobil myCuaca yang dapat memberikan maklumat cuaca dan gempa bumi untuk diakses pada bila-bila masa oleh orang ramai. MET Malaysia juga turut membangunkan aplikasi mobil RakanMET iaitu medium perkongsian maklumat cuaca setempat di kalangan orang awam. Selain itu, Jabatan juga menyampaikan ramalan dan amaran cuaca ini menggunakan pelbagai medium seperti media sosial (Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube), laman sesawang Jabatan dan media massa (televisyen dan radio).
4. Berikutan kejadian ribut dan hujan lebat yang berlaku kebelakangan ini terutamanya di kawasan utara Semenanjung Malaysia, MET Malaysia akan menambahbaik Prosedur Tetap Operasi (PTO) berkaitan penyediaan dan penyebaran maklumat, nasihat dan amaran cuaca supaya ia dikeluarkan dengan lebih kerap apabila cuaca dijangka menjadi lebih buruk. Dengan penambahbaikan berterusan yang dilakukan terhadap sistem ramalan cuaca negara, ia dijangka dapat menghasilkan ramalan yang lebih tepat dan seterusnya dapat membantu pihak agensi pengurusan bencana untuk bertindak lebih awal dalam memastikan keselamatan rakyat terjamin.
Sekian, terima kasih.