Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 14 October 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 35 | Soalan | Tuan Jimmy Puah Wee Tse [ Tebrau ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan walaupun Kementerian telah meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling melibatkan denda sehingga RM10 juta namun masih terdapat kes pembuangan sisa toksik secara haram berlaku seperti baru-baru ini di Parlimen Tebrau. Apakah langkah tambahan Kementerian untuk mencegah perkara ini dari berulang lagi.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Sebagai makluman kepada Ahli Yang Berhormat, Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 telah diwartakan pada 6 Jun 2024 dan dikuatkuasakan mulai 7 Julai 2024. Melalui pindaan ini, denda sehingga maksimum RM10 juta boleh dikenakan bagi kesalahan-kesalahan pencemaran air, pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran minyak dan buangan ke Perairan Malaysia jika disabitkan di mahkamah.
Susulan kejadian pencemaran bau pada 9 September 2024, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat menjalankan siasatan lanjut ke atas premis industri yang disyaki dan individu yang menjadi dalang di dalam pembuangan sisa kimia secara haram.
Selain itu, beberapa tindakan berikut juga dilaksanakan bagi membanteras pembuangan sisa kimia secara haram:
Meningkatkan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya untuk mengawal pelepasan bahan pencemar daripada aktiviti industri agar tidak memberi kesan buruk terhadap alam sekitar;
Memastikan pengurusan buangan terjadual, efluen, kumbahan dan sebarang pelepasan bahan pencemar udara dilaksanakan dengan baik bagi memastikan pematuhan terhadap had-had pelepasan yang ditetapkan;
Memantau pengurusan buangan terjadual daripada industri yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dengan mengawalselia penggunaan sistem Electronic Scheduled Waste Information System (eSWIS) bagi mengesan pergerakan buangan terjadual daripada premis industri yang menghasilkan buangan terjadual kepada kemudahan pengurusan yang dilesenkan oleh JAS;
Menjalankan pemeriksaan secara berterusan ke atas premis industri, notifikasi pemasangan alat kawalan pencemaran, pelaporan alam sekitar secara atas talian (Online Environmental Reporting, OER) dan penguatkuasaan secara desktop;
Memastikan pelaksanaan pematuhan kendiri (Self Regulation, SR) kepada pihak industri untuk menjalankan pemantauan prestasi setiap hari terhadap kelengkapan alat kawalan pencemaran yang telah dipasang agar ianya berfungsi dengan baik pada setiap masa;
Meningkatkan kerjasama dan melaksanakan operasi secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaan yang lain; dan
Menganjurkan program promosi dan kesedaran awam kepada masyarakat dan semua pihak berkepentingan mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|