Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

14 October 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

9

Soalan

Tuan Manndzri bin Nasib [ Tenggara ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah yang diambil oleh pihak Kementerian bagi memantapkan lagi operasi pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap pihak syarikat mahupun individu yang melanggar peraturan alam sekitar.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa komited dalam memastikan pemantauan dan pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar dilaksanakan dengan berkesan dan tindakan diambil terhadap mana-mana syarikat atau individu yang melanggar undang-undang alam sekitar.


  1. Sebagai makluman, Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 telah diwartakan pada 6 Jun 2024 dan dikuatkuasakan mulai 7 Julai 2024. Melalui pindaan ini, denda sehingga maksimum RM10 juta boleh dikenakan bagi kesalahan-kesalahan pencemaran air, pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran minyak dan buangan ke Perairan Malaysia. Selain itu, hukuman penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun boleh dikenakan bagi kesalahan-kesalahan tertentu. Nilai kompaun juga telah ditingkatkan dari RM2000 sehingga maksimum tidak melebihi 50% dari nilai denda maksimum bagi kesalahan berkaitan.


  1. Dalam hal ini, bagi memantapkan lagi operasi pemantauan dan penguatkuasaan, JAS telah mengambil langkah-langkah penambahbaikan seperti berikut:


  1. Menjalankan penguatkuasaan secara berterusan ke atas premis-premis yang tertakluk di bawah Akta 127;


  1. Meningkatkan pelaksanaan operasi secara bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain;


  1. Memberikan ulasan dan input teknikal kepada Pusat Khidmat Setempat (One Stop Centre) yang diselaraskan oleh PLAN Malaysia sebelum sesuatu projek diluluskan;


  1. Mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri, penggerak projek dan Pihak Berkepentingan yang berkaitan untuk memastikan Akta 127 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya difahami dan dipatuhi setiap masa;


  1. Meningkatkan pelaksanaan dan keberkesanan program promosi dan kesedaran awam kepada masyarakat dan semua pihak berkepentingan mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar;


  1. Menyediakan program Kursus Kompetensi bagi mentauliahkan orang yang berwibawa supaya penggerak projek dan pihak industri yang mengendalikan pengurusan alam sekitar di premis masing-masing seperti pengurusan buangan terjadual, efluen perindustrian, kumbahan, pelepasan udara dan yang mengendalikan alat kawalan pencemaran mempunyai kompetensi sepertimana keperluan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-peraturan berkaitan; dan


  1. Mengenakan tindakan tegas dengan pengeluaran notis arahan, kompaun, penahanan operasi kelengkapan, gantung/ tarik balik lesen, perintah larangan dan tindakan mahkamah ke atas premis-premis yang didapati gagal mematuhi Akta 127 ini.


  1. Selain itu bagi memastikan penguatkuasaan Akta 127 dilaksanakan dengan lebih berkesan, Kementerian melalui JAS melihat keperluan untuk meningkatkan kapasiti pegawai penguatkuasa melalui latihan, perolehan teknologi dan peralatan pemantauan terkini. Langkah-langkah yang akan diambil termasuk:


  1. Menyediakan latihan kemahiran khusus bagi meningkatkan keupayaan pegawai  supaya dapat membuat siasatan dengan lebih baik dan mahir mengendalikan kes mahkamah;


  1. Melaksanakan perolehan kenderaan tambahan baharu bagi membolehkan anggota penguatkuasa melakukan tugasan rondaan dengan lebih berkesan; dan


  1. Membuat perolehan peralatan teknikal tambahan untuk melengkapkan pasukan penguatkuasa supaya parameter pencemar dapat dikenalpasti agar tindakan awal siasatan serta pembuktian kes dapat digunakan bagi menyokong kes perbicaraan di mahkamah.


Sekian, terima kasih. 



Attachments