Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 14 October 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perhutanan | Nombor Soalan | 3 | Soalan | Dato' Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik [ Balik Pulau ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah komitmen Kementerian dalam mengimbangi pelbagai keperluan untuk pembangunan di samping memelihara kawasan hutan simpan di Malaysia.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hutan adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Manakala, bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) adalah dalam memberikan nasihat teknikal mengenai pengurusan dan pembangunan hutan serta menjalankan penyelidikan dan khidmat latihan.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan melalui NRES komited dalam mengimbangi keperluan pembangunan di samping memelihara kawasan hutan simpan di Malaysia. Antara usaha yang sedang dan telah dilaksanakan adalah seperti berikut:
menyediakan insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) yang dilaksanakan sejak tahun 2019. Insentif ini diberi kepada Kerajaan-kerajaan Negeri yang mengambil usaha melindungi kawasan hutan tadahan air dan kawasan perlindungan sedia ada serta menambah kawasan perlindungan dan HSK yang baharu. Sejumlah kira-kira 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal dan santuari hidupan liar di Kedah, Perak, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan. Bagi tempoh 2019 hingga 2024, peruntukan bagi insentif kewangan EFT adalah berjumlah RM550 juta, termasuk sebanyak RM200 juta pada tahun ini; pemerkasaan perundangan perhutanan melalui pemakaian Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [Akta A1667] oleh kerajaan-kerajaan negeri. Akta ini telah diwartakan pada 20 September 2022 di peringkat Persekutuan dengan memperkenalkan pendengaran awam, penggantian dan pewartaan serentak untuk kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diwarta keluar;
mempergiatkan usaha ke arah mewartakan HSK, Kawasan Perlindungan serta pewartaan kawasan cadangan HSK khususnya yang terletak dalam kawasan Central Forest Spine (CFS). Perkara melibatkan pewartaan kawasan cadangan HSK dalam kawasan CFS telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-81;
melaksanakan moratorium bagi menghentikan peluasan ladang hutan dalam HSK dan perkara ini juga telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan Mesyuarat MTN ke-81; dan;
pembangunan dan pengoperasian inisiatif di bawah instrumen Kerangka Kewangan REDD Plus (RFF) melalui agensi Malaysia Forest Fund (MFF), iaitu Forest Conservation Certificate (FCC) dan pembangunan Forest Carbon Offset (FCO) bagi meningkatkan kerjasama dan sumbangan daripada pihak swasta bagi penyaluran dana untuk aktiviti konservasi dan pengurusan hutan serta mitigasi perubahan iklim.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|