Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 5 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 12 March 2026 | Tahun Persidangan | 2026 | Kategori | Mineral | Nombor Soalan | 51 | Soalan | Senator Dato' Wu Him Ven minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :- senarai negeri yang telah menerima pakai Prosedur Operasi Standard Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) serta kekangan utama bagi negeri yang masih belum melaksanakannya; dan berapakah permohonan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek NR-REE yang telah dikemukakan oleh setiap negeri dan apakah status terkini bagi Negeri Sembilan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Soalan (a) Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (REE) telah diluluskan di peringkat Majlis Mineral Negara dan diedarkan kepada semua Kerajaan Negeri pada 20 Disember 2023 sebagai dokumen rujukan umum yang perlu disesuaikan dengan perundangan negeri masing-masing. Dari segi pelaksanaan, Negeri Perak merupakan negeri yang telah melaksanakan sepenuhnya SOP tersebut melalui Projek Perintis Perlombongan REE di Mukim Kenering, Hulu Perak dan setakat ini menjadi satu-satunya negeri yang mempunyai projek perlombongan REE yang telah beroperasi setelah memperoleh semua kelulusan yang diperlukan di peringkat Persekutuan dan Negeri. Selain itu, Negeri Sembilan telah secara rasmi menerima pakai SOP tersebut pada Januari 2024 dengan memberi penekanan kepada pelaksanaan secara usaha sama antara pihak negeri dan swasta serta pemantauan ketat terhadap pematuhan alam sekitar dan kawalan hasil.
Bagi negeri-negeri lain, secara umumnya pihak Kerajaan Negeri menerima pakai prosedur yang ditetapkan dalam SOP kebangsaan tersebut. Walau bagaimanapun, tahap pelaksanaan sebenar hanya dapat dinilai apabila sesuatu projek perlombongan dimulakan memandangkan kebanyakan permohonan masih di peringkat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri atau dalam proses penilaian Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA). Antara kekangan utama yang dikenal pasti ialah keperluan menyelaras SOP dengan Enakmen Mineral Negeri masing-masing, keperluan mendapatkan kelulusan EIA sebelum permohonan Skim Pengoperasian Lombong dipertimbangkan, serta sensitiviti dasar berkaitan Hutan Simpan Kekal (HSK) dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
Soalan (b) Aktiviti perlombongan REE dikategorikan sebagai Aktiviti Yang Ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015. Sehubungan itu, penyediaan Laporan EIA adalah wajib dan perlu diluluskan oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar sebelum sebarang kerja pembangunan dimulakan.
Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga 19 Februari 2026, terdapat tiga (3) negeri yang telah mengemukakan dokumen Terma Rujukan (Terms of Reference, TOR) atau Laporan EIA berkaitan projek REE, iaitu:
Negeri Perak – Laporan EIA bagi projek di Mukim Kenering, Hulu Perak telah diluluskan pada 11 Mei 2022;
Negeri Johor – TOR bagi projek di Mukim Labis dan Mukim Bekok, Daerah Segamat telah disahkan pada 20 November 2023. Walau bagaimanapun, Laporan EIA penuh masih belum dikemukakan; dan
Negeri Sembilan – Laporan EIA bagi projek seluas 357 hektar di Mukim Ulu Klawang dan Ulu Triang, Daerah Jelebu telah diterima pada 12 Disember 2025 dan kini dalam proses penilaian oleh Jabatan Alam Sekitar bersama agensi teknikal berkaitan.
Kerajaan komited untuk memastikan setiap projek perlombongan REE dilaksanakan secara terkawal, mematuhi sepenuhnya SOP kebangsaan serta keperluan EIA di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sebelum sebarang operasi dibenarkan.
Sekian, terima kasih.
| | Attachments |
|
|