Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

12 March 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

40

Soalan

Senator Tan Sri Dato' Low Kian Chuan minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :- 

  1. perkembangan terkini dan garis masa pembentangan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim; dan 

  2. bagaimana ia akan membolehkan harga karbon dan peralihan ke ekonomi rendah karbon merentasi sektor-sektor ekonomi lain.


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Soalan (a)

   

  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) kini dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN). Rang undang-undang (RUU) ini akan menjadi kerangka perundangan utama negara bagi memperkukuh tadbir urus perubahan iklim serta membolehkan negara mengoperasikan dan menguatkuasakan tindakan perubahan iklim yang digariskan di bawah Perjanjian Paris untuk dilaksanakan di peringkat domestik. 


  1. RUU PIN juga akan menjadi pelengkap kepada dasar mitigasi dan adaptasi perubahan iklim sedia ada dan yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bagi memastikan tindakan yang efektif dan inklusif di setiap peringkat. Sebuah entiti kawal selia bebas dikenali sebagai Pihak Berkuasa Perubahan Iklim Negara (IKLIM) akan turut diwujudkan yang bertanggungjawab mengawal selia pelaksanaan dasar dan tindakan perubahan iklim negara. 


  1. Pada masa ini, RUU PIN sedang melalui proses semakan akhir oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memastikan RUU berkenaan teratur daripada aspek perundangan dan selaras dengan ketetapan dasar yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 11 Jun 2025. Kementerian ini berhasrat untuk membentangkan RUU PIN dan RUU IKLIM dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas.


Soalan (b)


  1. Penggubalan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN) membolehkan pelaksanaan harga karbon (carbon pricing) dan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon merentasi sektor ekonomi dibuat melalui pendekatan berfasa dan berstruktur.


  1. Pertama, RUU PIN akan memperkenalkan sistem Pemantauan, Pelaporan dan Verifikasi (Monitoring, Reporting and Verification – MRV) yang mempunyai metodologi pengiraan pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang seragam merentas sektor. Ini bagi memastikan ketelusan dan keabsahan data, serta pembentukan registri karbon kebangsaan yang berintegriti. MRV merupakan asas penting bagi pelaksanaan instrumen harga karbon kerana ia memastikan penetapan harga dibuat berasaskan data pelepasan sebenar.


  1. Kedua, berdasarkan asas MRV tersebut, Kerajaan akan melaksanakan cukai karbon bermula tahun 2026 dengan tumpuan awal kepada sektor tenaga, besi dan keluli. Pelaksanaan cukai karbon ini akan diselaraskan dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) serta peruntukan di bawah RUU PIN bagi memastikan keseragaman dasar dan kecekapan pelaksanaan. Pengenalan cukai karbon pada peringkat ini akan memberikan isyarat yang jelas kepada sektor berintensiti karbon tinggi untuk meningkatkan kecekapan dan beralih kepada teknologi rendah karbon.


  1. Ketiga, RUU PIN turut menyediakan asas perundangan bagi pelaksanaan Skim Perdagangan Pelepasan (Emission Trading Scheme – ETS) pada fasa seterusnya, apabila sistem MRV dan ekosistem pasaran karbon domestik telah matang. ETS akan membolehkan had pelepasan ditetapkan bagi sektor tertentu dan memberi fleksibiliti pematuhan melalui perdagangan elaun pelepasan secara kos efektif.


  1. Selain itu, RUU PIN juga akan mengawal selia pasaran karbon pematuhan (compliance market) termasuk penggunaan kredit karbon bagi memenuhi obligasi pengurangan pelepasan. Ini memberi pilihan tambahan kepada sektor yang sukar mengurangkan pelepasan secara langsung, tanpa menjejaskan sasaran pengurangan pelepasan GHG negara.


  1. Melalui pendekatan tersebut, bermula dengan MRV sebagai asas, diikuti pelaksanaan cukai karbon dan seterusnya ETS, RUU PIN akan membolehkan harga karbon dapat dilaksanakan secara telus dan tersusun sekaligus mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.


Sekian, terima kasih.



Attachments