Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

12 March 2026

Tahun Persidangan

2026

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

36

Soalan

Senator Tuan Che Alias bin Hamid minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh mana bidang kuasa Kerajaan Negeri diambil kira dalam Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) telah digubal untuk membolehkan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Perjanjian Paris dan protokol-protokol lain berkenaan perubahan iklim dapat dilaksanakan dengan efektif melalui penguatkuasaan peruntukan-peruntukan di bawah RUU PIN tersebut. RUU PIN juga merupakan kerangka perundangan yang digubal bagi mengarusperdanakan tindakan perubahan iklim dan menjadi pelengkap kepada dasar mitigasi dan adaptasi perubahan iklim yang sedang dan ingin dilaksanakan oleh Kerajaan di peringkat domestik. 


  1. Dalam masa yang sama, NRES juga akan memperkenalkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) yang bertujuan untuk memperkukuhkan ekosistem mekanisme pasaran karbon di samping memudahcara urusniaga kredit karbon di antara pemain tanpa menjejaskan kepentingan negara. Oleh yang demikian, RUU PIN juga akan menjadi instrumen penting bagi memastikan DPKK dapat dilaksanakan dengan efektif. 


  1. Walau bagaimanapun, NRES mengambil maklum dan sentiasa menghormati hak dan bidang kuasa Kerajaan Negeri bagi perkara berkaitan sumber asli dan hasil negeri. Contohnya, di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 74 (2) menetapkan bahawa hutan adalah di bawah bidang Kuasa Kerajaan Negeri. Justeru, setiap negeri mempunyai kuasa dan hak untuk menggubal undang-undang dan menguruskan dasar perhutanan di negeri masing-masing. Kementerian ini turut mengambil maklum bahawa terdapat Kerajaan-Kerajaan Negeri yang telah menggubal dasar dan perundangan berkaitan perubahan iklimnya sendiri.


  1. Sehubungan dengan itu, antara kuasa yang diperuntukkan di bawah RUU PIN secara amnya adalah melibatkan bidang kuasa NRES seperti:


  1. penyediaan sasaran Nationally Determined Contributions (NDC) dan pengurangan pelepasan gas rumah kaca  negara sepertimana yang dikehendaki oleh UNFCCC;


  1. penubuhan skim perdagangan pelepasan atau Emission Trading Scheme (ETS);


  1. penyediaan tindakan bagi mitigasi perubahan iklim dan langkah-langkah untuk meningkatkan daya ketahanan terhadap kesan iklim; dan


  1. penyediaan pelaporan di peringkat antarabangsa serta dalam negara; dan


  1. mengawal selia mekanisme pasaran karbon pematuhan khususnya bagi kredit karbon yang ingin dipindahkan ke luar negara seperti yang digariskan di bawah DPKK. 


  1. Selain itu, dalam memastikan peruntukan yang digubal di bawah RUU PIN dan hala tuju DPKK mengambil kira bidang kuasa kerajaan negeri khususnya yang melibatkan isu-isu yang berkait rapat dengan kuasa negeri seperti perhutanan, penggunaan tanah dan projek kredit karbon, Kementerian ini telah melaksanakan sebanyak 20 sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri berkenaan penggubalan RUU PIN dan pelaksanaan DPKK. Selain itu,dalam proses penggubalan RUU PIN dan DPKK, wakil Kerajaan Negeri juga turut terlibat di dalam Jawatankuasa-Jawatankuasa pembangunan yang berkaitan agar input Kerajaan Negeri turut diambil kira. 


  1. Justeru, NRES ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri yang sudi berkongsi mengenai inisiatif perubahan iklim termasuk pasaran karbon yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam sesi libat urus dan mesyuarat yang telah dilaksanakan. NRES juga berhasrat agar Kerajaan Negeri dapat bersama mengambil bahagian dalam memastikan pelaksanaan RUU PIN dan DPKK ini dapat dimanfaatkan Kerajaan Negeri di samping memastikan kepentingan negara terpelihara. 


  1. Sehubungan dengan itu, sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri dan pelbagai pemegang taruh akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan penguatkuasaan RUU PIN adalah lebih komprehensif dan sesuai dengan keadaan negeri masing-masing. Selain itu, pelaksanaan DPKK juga dapat mewujudkan pasaran karbon berintegriti tinggi merentas negeri melalui penggunaan kredit karbon yang disahkan, berkos efektif dan menyumbang secara langsung kepada sasaran Nationally Determined Contribution (NDC) dan aspirasi pelepasan GHG sifar bersih negara. 


Sekian, terima kasih.



Attachments